MALAYSIA POST
MUAFAKAT Nasional (MN) perlu terus kekal menjadi wadah kepada Umno dan PAS bertemu serta berbincang mengenai penyatuan ummah.
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, meskipun PAS menganggotai Perikatan Nasional (PN) manakala Umno kekal dalam Barisan Nasional (BN), ia tidak bermakna MN akan ditinggalkan dan tidak relevan.
“Bagi Umno, biarlah MN menjadi wadah boleh memayungi semua, bukan sekadar kepentingan politik PAS dan Umno. Apatah lagi apabila ideologi dan pendekatan kedua-dua parti ini sangat berlainan.
“PAS teruslah dengan PN dan Umno pula teruslah dengan BN. Tetapi jika ada kemaslahatan ummah yang memerlukan Umno dan PAS bertemu dan berbincang, MN harus menjadi arenanya.” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan PAS tidak boleh terus terbelenggu dengan MN sekiranya pakatan itu hanya membabitkan parti itu dan Umno saja.
Katanya, PAS juga menolak sebarang fahaman cuba menafikan keperluan gagasan seperti PN untuk menangani masyarakat majmuk di negara ini.
Sementara itu, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN menyifatkan pembentukan PN menyebabkan MN tidak lagi berseri selain tidak ada daya penarik dan seperti tidak ada erti.
“Yang jelas Umno tidak pernah membelakangi dan meninggalkan MN. Sedikit demi sedikit, dengan segala daya yang ada, MN ini cuba Umno kukuhkan dari segenap aspek,” katanya.
Beliau berkata, ketika MN digagaskan, Umno sangat jelas dengan tujuannya iaitu bagi mempertemukan dua parti Melayu dan menjadi wadah ke arah kesatuan serta penyatuan yang jujur dan ikhlas.
Jelas beliau, wadah itu seharusnya menjangkaui politik dan perlu menjadi medan segala kepentingan Melayu dan Islam dibincangkan dan dirumuskan.
Atas faktor itu katanya, Umno sejak awal lagi tidak mahu MN ia didaftarkan sebagai sebuah perikatan politik, walaupun didesak pelbagai pihak dalam Umno dan PAS.
“Sesungguhnya, perpaduan ummah bukan hanya perpaduan antara Umno, PAS, dan Bersatu. Ia merangkumi permuafakatan semua yang merentas logo, bendera dan parti.
“Biar rambut kita beraneka warna, yang penting hati kita pada bangsa dan agama,” katanya – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan