KOTA KINABALU: Presiden Warisan Shafie Apdal berkata, parti itu bakal melancarkan sayapnya di Semenanjung pada 17 Dis dengan tumpuan diberikan kepada beberapa kawasan tertentu.
Katanya, langkah itu adalah bagi memastikan Warisan mempunyai masa yang cukup untuk membuat persediaan di kawasan yang boleh memberi impak pada pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, walaupun perkara yang penting ketika ini adalah melebarkan sayap parti itu ke Semenanjung, namun mereka tidak mahu terlalu bercita-cita tinggi dengan membuka cawangan di semua kawasan.
“Kita perlu bersifat selektif maka, ada kawasan yang kita tidak akan buka cawangan kerana kita tidak mempunyai masa yang mencukupi.
“Bagaimanapun, kita sudah melakukan proses yang sepatutnya, jadi tiada masalah untuk merealisasikan (pembukaan cawangan),” katanya selepas merasmikan Persidangan Tahunan Warisan Bahagian Putatan, semalam.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, parti itu tidak mahu melebihi had yang ada kerana pilihan raya akan diadakan pada bila-bila masa pada tahun depan atau mungkin tahun berikutnya.
Katanya, senarai pemangku jawatan yang akan dipilih di beberapa negeri sudah tersedia dan parti itu sedang melakukan perincian bagi memilih penaja yang sesuai untuk menjadi ketua di kawasan tertentu.
Beliau berkata, terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Semenanjung yang juga menyatakan kesediaan menyertai Warisan.
“Saya sudah bertemu beberapa individu ketika berada di Kuala Lumpur,” katanya.
Mengulas lanjut Shafie berkata, selepas melebarkan sayap parti, Warisan akan bekerjasama erat dengan rakan seperjuangannya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
“Saya sudah pun berbincang dengan Syed Saddiq dan jawatankuasa MUDA dan saya fikir semuanya sudah jelas.
“Kita juga sedia maklum bahawa parti Muda masih belum diluluskan,
sebab itu saya berjumpa pemimpin mereka untuk melihat bagaimana gabungan
kerjasama ini dapat direalisasikan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan