ALOR GAJAH – Penambahbaikan dalam Bersatu wajar dilakukan bukan hanya di peringkat negeri malah secara keseluruhan, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.
Katanya, penambahbaikan dalam pengurusan Bersatu itu perlu dilakukan, bagi membolehkan asas perjuangan penubuhan parti berkenaan dapat dikembalikan.
“Mengambil kira senario yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru ini, saya berpendapat bukan sahaja rombakan di (peringkat) negeri wajib dibuat, tetapi (parti) perlu melihat semula struktur pentadbiran secara keseluruhan yang melibatkan pengurusan parti itu sendiri,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Alor Gajah di A Famosa Resort, di sini, hari ini.
Katanya, struktur pentadbiran itu adalah seperti siapa yang telah dipilih, manakala yang dilantik dikekalkan namun kena ada penambahbaikan dari segi pengurusan parti, termasuk keahlian dan gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.
Beliau berkata demikian bagi mengulas peletakan jawatan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, Jumaat lalu.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, terpulang kepada pucuk pimpinan, untuk menilai semula gerak kerja dalam meneruskan agenda parti untuk menjadi sebuah parti alternatif yang mendukung perjuangan bangsa dan agama.
“Ini bukan saja melibatkan struktur penyusunan semula negeri, tetapi memperhalusi cara (parti) mengurus dan mentadbir peringkat pusat dan itu terpulanglah kepada presiden.
“Ia pentingnya untuk semua kembali kepada perjuangan asal Bersatu, yang mana jika asasnya parti ini ditubuhkan dahulu. Kita akui kelemahan dalam gerak kerja parti yang telah menjadi antara punca kepada kekalahan Perikatan Nasional (PN) pada PRN (Melaka), dan harap ia dapat dijadikan iktibar,” katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan