HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 November 2021

Kit Siang akui MoU Kerajaan-PH selamatkan nyawa rakyat

MALAYSIA POST

Kit Siang akui MoU Kerajaan-PH selamatkan nyawa rakyat

VETERAN DAP, Lim Kit Siang mengakui Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dengan Kerajaan Persekutuan dapat menyelamatkan nyawa rakyat daripada krisis Covid-19 yang lebih parah.

Kit Siang berkata, daripada jangkaan mengumpulkan lima juta kes dan 100,000 kematian akibat Covid-19, negara sebaliknya mencatatkan 2,623,816 kes dan 30,309 kematian akibat Covid-19.

Katanya, angka berkenaan direkodkan menjelang 100 hari pertama pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri  Yaakob

“Ini bermakna MOU CSR berjaya mengelakkan 2.4 juta jangkitan Covid-19 dan menyelamatkan kira-kira 60,000 ke 70,000 nyawa. Inilah sebab utama saya menyokong MOU antara Ismail Sabri dan pemimpin PH.

“Apabila negara sedang berhadapan ancaman besar melibatkan jutaan kes dan ribuan korban nyawa, kita perlu ketepikan perbezaan kita untuk melindungi nyawa, punca pendapatan, dan fabrik masyarakat Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, semalam Malaysia mencatatkan 4,239 kes baharu Covid-19 iaitu kadar terendah dalam 196 hari sejak 16 Mei lalu. 

“Kita telah menghentikan keadaan terburuk Covid-19 tetapi kita belum memenangi perang melawan wabak ini.

“Daripada berada dalam kedudukan sedang kalah, MOU CSR ini mengubah arah tuju negara untuk menghentikan peningkatan melampau kes dan kematian akibat Covid-19.” katanya.

Kit Siang berkata, pada hari terakhir 100 hari pertama pentadbiran Ismail Sabri, negara akhirnya terkeluar daripada jerat 4,500 hingga 6,500 kes dengan 4,239 kes baharu dicatatkan semalam.

“Harapnya, perkara ini mencatatkan permulaan di mana kita mula berjaya mengawal penularan Covid-19 dengan lebih baik dalam 100 hari kedua Ismail Sabri

“Kita berharap suatu hari di mana kadar peningkatan kes baharu ini berada dalam julat dua angka dengan kadar kematian dalam julat satu angka,” katanya.

Namun, katanya, persoalan itu menjadi lebih mendesak apabila terdapat laporan mengenai varian baharu Covid-19, Omicron, yang sedang tular di seluruh dunia.

“Walaupun masih belum jelas sama ada varian Omicron ini lebih mudah berjangkit berbanding dengan varian-varian lain atau sama ada ia menyebabkan penyakit yang lebih parah,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: