HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 November 2021

Bahasa Melayu: Jangan jadikan sekolah vernakular ‘kambing hitam’ 30/11/2021

MALAYSIA POST

Bahasa Melayu: Jangan jadikan sekolah vernakular ‘kambing hitam’

SEMUA pihak harus mencari jalan yang lebih kritikal dalam usaha pemerkasaan Bahasa Melayu, berbanding menjadikan sekolah vernakular sebagai satu-satunya sebab masalah itu, kata Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata pemerkasaan Bahasa Melayu adalah isu yang harus ditangani secara bersama.

Beliau berkata isu tersebut sering dibangkitkan oleh Umno serta PAS dan selalu disambut oleh Bersatu.

Menurutnya ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, isu-isu tersebut sering dijaja untuk mengundang kemarahan masyarakat Melayu.

“Liberalisasi sekolah antarabangsa merupakan dasar diperkenalkan Umno. Berapa ramai anak pimpinan Umno dan Bersatu memilih menghantar anak mereka ke sekolah antarabangsa, malah bersekolah di luar negara? Bagaimana pula dengan kualiti Bahasa Melayu mereka?

“Ramai pelajar SJKC ada penguasaan Bahasa Melayu yang lebih baik berbanding anak-anak keluarga elitis ini. Had 40% pelajar Malaysia di sekolah antarabangsa dimansuhkan menyebabkan tiada lagi had jumlah pelajar Malaysia di sekolah antarabangsa.

“Ini bukan kerja PH, tetapi Menteri Pendidikan Umno tahun 2012 Muhyiddin Yassin, yang kini Presiden Bersatu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nik Nazmi yang juga Ketua Setiausaha Pengelola PKR mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir yang menyatakan pihaknya kekal dengan pendirian berhubung sekolah vernakular yang wajar dimansuh secara berperingkat.

Mohd Ashraf Mustaqim berkata, langkah itu diambil sekiranya Bahasa Melayu tidak dimartabat dan persejarahan Malaysia disongsangi menerusi silibus di sekolah vernakular.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata semua pihak harus mencari jalan untuk menjadikan Sekolah Kebangsaan menjadi lebih berkualiti dan inklusif, supaya ia mampu menarik ibu bapa.

“Saya percaya dengan perbincangan dan strategi yang betul, kita mampu meningkatkan kualiti sekolah kebangsaan – semua ibu bapa daripada pelbagai bangsa akan menghantar anak-anak mereka ke sana.

Sebaliknya taktik lapuk bermain politik sempit perkauman bukanlah cara untuk menyelesaikan isu ini,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: