HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 November 2021

‘Tiada kemajuan jika terus jadi pembangkang’ – Mohamaddin

MALAYSIA POST

‘Tiada kemajuan jika terus jadi pembangkang’ – Mohamaddin

AHLI Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi yang baru menyertai Bersatu mengakui tidak mampu membawa sebarang kemajuan kepada pengundi kawasannya jika terus menjadi wakil pembangkang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Segama berkata, Lahad Datu mempunyai empat Dewan Undangan Negeri (DUN) berkeluasan besar yang memerlukan peruntukan banyak untuk dibangunkan setanding kawasan lain.

Justeru, bekas pemimpin Warisan itu melihat Bersatu yang turut berada dalam kerajaan mampu membawa kemajuan kepada kawasan diwakilinya.

“Tiga tahun lebih lagi untuk bertahan dalam pembangkang, apa yang anda jangka jika saya bertahan di situ? Pembangkang tidak bawa apa-apa.

“Pilihan raya selepas ini saya akan jumpa pengundi saya dan minta undi lagi, apa yang orang akan kata?

“Bukankah dengan sendirinya itu memberitahu kepada kita tak payahlah nak jumpa rakyat, pasal dah jadi pembangkang lama tiada bawa apa-apa… dan anda kembali kepada rakyat minta undi, saya rasa itu bukan perkara bagus,” katanya memetik portal FMT hari ini.

Mohamaddin berkata demikian dalam sidang media menjelaskan mengapa beliau menyertai Bersatu.

Terdahulu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan Mohamaddin secara rasmi menjadi ahli Bersatu, selepas permohonannya diterima mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu malam tadi yang dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada 30 Oktober lalu, Mohamaddin mengumumkan keluar Warisan kerana mahu memberi tumpuan memaju dan membangunkan Parlimen Lahad Datu serta DUN Segama.

Mengulas lanjut, Mohamaddin mendakwa Lahad Datu agak terkebelakang dari segi pembangunan menyebabkan beliau nekad menyertai parti itu.

“Jadi dengan harapan saya dah masuk Bersatu, bolehlah bawa manfaat kepada rakyat di kawasan saya,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: