MALAYSIA POST
AHLI Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah bersetuju penyatuan ummah yang dimaksudkan PAS tidak seharusnya terikat dengan kelompok tertentu.
Bagaimanapun, beliau membangkitkan persoalan adakah penyatuan ummah berdasarkan acuan PAS itu boleh melibatkan parti serpihannya iaitu Amanah.
“Betul. Penyatuan ummah tidak harus terikat dengan kelompok tertentu.
“Cuma hanya bertanya, agak-agak PAS setuju tak kalau diajak PAN atau Amanah bersama?,” soalnya di Facebook.
Shamsul Anuar mengulas kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang berkata, sayap parti itu mendukung penuh kenyataan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai pendirian parti itu dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).
Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, PAS sebagai parti yang dikatakan berlandaskan Islam pastinya akan menjawab dan berhujah dengan bahasa yang baik dan sopan.
“Sesuai dengan imej kita orang Islam. Jadi berhujahlah dengan baik ya,” katanya.
Semalam, Ahmad Fadhli menegaskan aspek yang paling besar dalam memperkukuh penyatuan ummah adalah menyatukan masyarakat Melayu dan Islam serta Bumiputera yang majoriti, serta mesti melibatkan semua pihak bagi meraikan kemajmukan masyarakat di Malaysia.
“Penyatuan ummah tidak boleh terhad kepada sesetengah kelompok sahaja, ia mesti bergerak selari,” katanya.
Sebelum ini, Abdul Hadi menegaskan parti itu menolak gagasan Muafakat Nasional (MN) yang terbelenggu dengan pembabitan hanya Umno dan parti itu sahaja.
Katanya, PAS juga menolak fahaman yang menafikan adanya masyarakat majmuk yang wajib ditangani oleh gagasan yang lebih besar iaitu Perikatan Nasional (PN).
Abdul Hadi berkata, gagasan MN yang ada perlu diubah bentuk dan
ikatannya kerana berlakunya perubahan situasi dan realiti. –
Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan