HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 November 2021

Terlalu awal putuskan bertanding di Johor atau tidak – Anwar

MALAYSIA POST

Terlalu awal putuskan bertanding di Johor atau tidak – Anwar

PRESIDEN PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menafikan atau mengesahkan dakwaan akan bertanding di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 ( PRU15) nanti.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, perkara itu masih terlalu awal untuk diputuskan.

“Perkara ini masih terlalu awal, mungkin dakwaan ini timbul kerana saya datang ke Kluang dan Simpang Renggam. Saya tidak kata ‘tidak’ tapi saya tidak tahu,” katanya memetik Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menerima borang keahlian Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik ke dalam PKR di Dewan Kampung Baru Machap sempena siri jelajah Presiden PKR ke Kluang dan Simpang Renggam, hari ini.

Hadir sama Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh.

Pada majlis sama, beliau menerima 500 borang keahlian baharu dan permohonan penubuhan 20 ranting baharu di Cabang Simpang Renggam.

Sebelum itu, terdapat laporan menyatakan Anwar bakal bertanding di kerusi Tebrau, Segamat atau Batu Pahat yang menjadi milik parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) namun kini penyandangnya tidak lagi bersama parti itu.

Anwar turut mengulas mengenai penyertaan Maszlee sebagai ahli PKR yang disifatkan cukup bermakna kerana mewakili golongan muda dalam parti itu.

Ditanya mengenai kerusi Parlimen Simpang Renggam sama ada kekal atau sebaliknya kepada Maszlee, Anwar menjelaskan perkara itu masih belum dibincangkan.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu mengambil kira prestasi Maslzee sebagai Menteri Pendidikan dan ahli Parlimen yang kerap turun padang. – Malaysiapost

Tiada ulasan: