HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 November 2021

Pas tidak boleh guna MN untuk paksa UMNO terima Bersatu

KHAIRULANUAR YAHAYA

PAS tidak boleh menggunakan Muafakat Nasional (MN) untuk memaksa UMNO menerima Bersatu kerana kedua-dua parti itu adalah seteru politik yang nyata.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, semasa membentuk Muafakat Nasional (MN), UMNO sangat jelas dengan tujuan gagasan berkenaan.

Muafakat Nasional menjadi medan mempertemu dua parti Melayu, Pas dan UMNO yang menjadi wadah ke arah kesatuan dan penyatuan yang jujur dan ikhlas.

Bagi UMNO, MN menjadi wadah yang boleh memayungi semua bukan sekadar kepentingan politik PAS dan UMNO apatah lagi menurut beliau, ideologi dan pendekatan kedua-dua parti ini sangat berlainan.

“Yang jelas UMNO tidak pernah membelakang dan meninggalkan MN. Sedikit demi sedikit, dengan segala daya yang ada, MN ini cuba UMNO kukuhkan dari segenap aspek.

“Tetapi, sebaik Perikatan Nasional (PN) terbentuk, MN sudah tidak lagi berseri, sudah tidak ada penarik dan seperti sudah tidak ada erti. Sebahagian dari pendukung MN tiba-tiba cenderung melihat PN sebagai jalan pintas untuk berkuasa. Mantera perpaduan ummah, laungan penyatuan merentas politik, hilang dan dilupakan.

“Ramai yang mula dibuai kerusi empuk dan berasa enak memegang tampuk kekuasaan. MN secara perlahan-lahan seakan dilepas dan dilupakan. Seolah-olah semua masalah dan kepentingan Melayu-Islam itu telah selamat dalam dakapan PN,” katanya.

Katanya, UMNO adalah parti politik dan bukan pergerakan sivil atau dakwah. UMNO menjadi instrumen untuk orang Melayu mengurus negara.

Seperti juga Pas, UMNO adalah parti politik dengan perjuangan, ideologi dan kemahuan tersendiri.

Justeru, katanya, UMNO tidak pernah mengajak Amanah dan PKR mahupun PBB di Sarawak untuk menyertai MN kerana UMNO realistik dan memahami sejarah PAS dengan Amanah.

“Maka demikianlah yang berlaku dalam PRN Melaka. PAS telah memilih PN, dan UMNO menerima keputusan tersebut. Dengan hati terbuka, (dan sedikit terluka). Kerana UMNO sejak awal faham. Ia tidak boleh meletakkan MN sebagai penghalang kerjasama politik antara PAS dan PPBM.

“Dan PAS pula tidak boleh menggunakan MN untuk memaksa UMNO menerima PPBM kerana kami adalah seteru politik yang nyata.

“Namun, itu tidak bermakna MN itu akan ditinggalkan dan sudah tidak relevan. PAS teruslah dengan PN dan UMNO pula teruslah dengan BN. Tetapi jika ada kemaslahatan ummah yang memerlukan UMNO dan PAS bertemu dan berbincang, MN harus menjadi arenanya,” kata beliau.

Menurut Mohamad, perpaduan ummah bukan hanya perpaduan antara UMNO, PAS, dan Bersatu sahaja tetapi merangkumi permuafakatan semua yang merentas logo, bendera dan parti.

Tambah beliau, perpecahan orang Melayu tidaklah dan kesatuan antara UMNO dan PAS melalui MN pula bukanlah bermakna orang Melayu telah bersatu dan ummah menjadi kuat.

“Puluhan juta orang Melayu di luar sana tidak pun menganggotai UMNO atau PAS. Namun, itu tidak bermakna mereka tidak mementingkan perpaduan dan masa depan ummah ini. Mereka sekadar mempunyai cita rasa dan cara masing-masing dalam politik. Yang demikian itu, harus kita faham dan hormat.

“Yang paling penting ialah kepentingan mereka diuruskan melalui wadah politik yang pelbagai, dengan cara yang tidak merugikan. Dan UMNO memilih untuk melakukannya melalui BN kerana telah lebih enam dekad, itulah caranya yang UMNO rasa terbaik,” tegas Mohamad.-SM

Tiada ulasan: