Peguam bela Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhujah dengan mengatakan sepanjang perbicaraan kes melibatkan kes rasuah anak guamnya tiada seorang pun saksi pendakwaan mengaku memberi rasuah kepada Presiden UMNO itu.
Peguam bela, Hisyam Teh Poh Teik berkata pembayaran melalui cek kepada firma guaman Lewis & Co iaitu pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi di mana tertuduh adalah pengasasnya tidak terdapat sebarang elemen rasuah bersabit proses tersebut.
“Tiada saksi yang menyatakan: ‘Ya, saya beri rasuah kepada tertuduh” … saksi menyatakan bahawa transaksi berkenaan adalah diaudit melalui audit dalaman dan audit luar dan bersetuju ia adalah transaksi terbuka.
“Kami menyatakan bahawa tiada elemen rasuah dalam transaksi ini, semuanya sudah diaudit dan cek terbabit juga boleh dikesan.
“Semua pembayaran adalah melalui transaksi cek. Ia (transaksi) tidak dibuat secara rahsia dan tiada apa yang meragukan mengenainya,” katanya… berdasarkan cara transaksi ini, kami menyatakan tiada elemen rasuah yang dibuktikan,” katanya dipetik dalam laporan portal BH hari ini.
Malah, beliau berkata transaksi terbuka tanpa sebarang kerahsiaan dan saksi menyatakan ia turut diaudit berhubung pembayaran berkenaan yang menjadi perkara pokok dalam lapan pertuduhan rasuah dihadapi Zahid.
Pembayaran dibuat itu bagi tujuan sumbangan politik dan kebajikan yang disokong oleh dokumen kewangan, katanya lagi.
Hisyam hari ini memberi penghujahan pada peringkat akhir kes pendakwaan dalam prosiding kes Zahid, 69, yang berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Sementara itu, Hisyam berhujah bahawa lapan tuduhan rasuah ke atasZahid tidak dapat dipertahankan kerana bukti yang dikemukakan oleh pendakwaan adalah tidak jelas.
Oleh itu, beliau menggesa supaya mahkamah tidak memanggil anak guamnya membela diri terhadap pertuduhan berkenaan berdasarkan bukti pendakwaan.
“Mahkamah perlu membuat keputusan berdasarkan bukti terus dan keterangan yang boleh dipercayai. Keterangan daripada saksi pendakwaan sendiri menunjukkan bahawa wang yang itu adalah satu pinjaman.
“Bukti terus daripada saksi pendakwaan juga menunjukkan wang yang diberikan adalah sumbangan politik. Tuduhan yang dikenakan adalah kabur dan tidak boleh berdiri dengan sendiri, ada kelompongan dalam kes pendakwaan dan sehingga hari ini masih tidak dijelaskan. Kami menyatakan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh,” katanya.
Hujahan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan