HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 November 2021

KKM pertimbang longgar SOP kempen PRN di pedalaman Sarawak

 Nur Shazreena Ali

Perincian mengenai perbincangan KKM mengenai SOP kempen di Sarawak akan dibawa kepada makluman SPR pada Selasa depan.

Kementerian kesihatan mempertimbangkan untuk memberikan kelonggaran kepada parti politik untuk kempen pilihan raya negeri (PRN) di kawasan pedalaman Sarawak, mengatakan perincian mengenai perkara itu akan dibawa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 30 November.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pihaknya mengadakan beberapa siri perbincangan dan libat urus dengan kerajaan negeri untuk dibawa susulan permintaan setiausaha kerajaan Sarawak mengenai kempen PRN.

“Setiausaha kerajaan Sarawak telahpun kemukakan permintaan yang sedikit berbeza daripada PRN Melaka.

“Kawasan yang berbeza tiada capaian internet. Jadi KKM mengadakan siri perbincangan dan libat urus dengan setiausah kerajaan Sarawak semalam, masih ada beberapa perkara perlu dipersetujui oleh KKM sebelum dipersetujui oleh SPR,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Khairy, permohonan tersebut adalah berdasarkan lokaliti di Sarawak sambil menambah Timbalan Menteri Kesihatan II Aaron Ago Dagang akan ditugaskan untuk memperincikan perbincangan tersebut dan akan diserahkan kepada SPR Selasa depan.

Salinan cadangan prosedur operasi standard (SOP) PRN Sarawak bertarikh 4 Novemebr yang diterbitkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) mengatakan kempen dan ceramah politik hanya dibenarkan di kampung dan rumah panjang di kawasan DUN tertentu.

Selain itu, hanya calon atau ahli politik bertanding akan dibenarkan untuk melakukan kempen dengan jumlah maksimum dibenarkan sebanyak lapan orang selain beberapa kakitangan rasmi kerajaan.

Cadangan SOP itu juga turut menyatakan lawatan dari rumah ke rumah sepanjang tempoh kempen adalah dilarang kecuali di kawasan pedalaman dan rumah panjang di DUN tertentu.

PRN Melaka pada 20 November lalu diadakan di bawah SOP kesihatan yang ketat dengan larangan berkempen secara bersemuka dan lawatan rumah ke rumah.

Calon juga dinasihatkan untuk berkempen di platform media sosial, yang turut menimbulkan kebimbangan mengenai keberkesanannya dalam usaha menyampaikan maklumat kepada pengundi menjelang hari pengundian.

Tiada ulasan: