HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 November 2021

Tiada halangan PAS bekerjasama dengan PN dalam PRU15 – Isham Jalil

MALAYSIA POST

Tiada halangan PAS bekerjasama dengan PN dalam PRU15 – Isham Jalil

TIADA paksaan bagi PAS sama ada ingin bekerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil, berkata ia terpulang kepada parti itu untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang disukainya.

Sebagai ahli akar umbi Umno, beliau berpendapat tiada halangan untuk PAS meneruskan kerjasama mereka dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.

“Pada hemat saya, ia terpulang kepada PAS untuk bekerjasama atau tidak bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang mereka suka.

“Kita tidak boleh paksa mereka untuk bekerjasama dengan kita sebagaimana mereka juga tidak boleh paksa kita untuk bekerjasama dengan sesiapa. Tiada paksaan dalam Islam.

“Jika PAS ingin teruskan kerjasama mereka dengan Bersatu dalam PN untuk PRU-15, itu keputusan mereka dan kita tidak akan halang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengucapkan selamat maju jaya kepada PAS dalam apa jua keputusan yang akan dibuat kelak.

“Apa pun, kita tidak boleh terima jika ada apa-apa syarat kerjasama yang memaksa kita untuk menyerahkan kerusi-kerusi lompat kepada Bersatu.

“Akar umbi dan kepimpinan Umno telah membuat keputusan dalam Perhimpunan Agung Umno untuk tidak bekerjasama dengan parti pengkhianat, katak dan pelompat parti iaitu Bersatu,” tegasnya.

Menurutnya, jika Umno menerima dan bekerjasama dengan Bersatu, rakyat akan menghukum dalam PRU-15 sebagaimana rakyat telah menghukum ‘pelompat-pelompat’ parti di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

“Sekiranya kita (BN) terpaksa pergi solo lagi, maka kita terima hakikat itu dan akan teruskan kecekalan dan usaha untuk mencapai kejayaan di atas kaki dan kekuatan sendiri, dan kita tidak perlu was-was, kurang keyakinan atau lemah semangat.

“Dalam perjuangan perlu tetapkan keyakinan diri diiringi dengan usaha, kecekalan, kesabaran dan doa kepada Allah SWT. Insya-Allah kita akan berjaya,” katanya

Semalam, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan menolak Muafakat Nasional (MN) yang terbelenggu dengan hanya melibatkan Umno dan PAS sahaja.

Menurutnya, PAS juga menolak fahaman menafikan adanya masyarakat majmuk yang wajib ditangani oleh gagasan yang lebih besar iaitu PN dan penubuhan MN perlu dilengkapkan melalui PN. – Malaysiapost

Tiada ulasan: