GOMBAK: Polis akan menggerakkan 9,356 anggota dan pegawainya bagi mengawal keselamatan dan memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak bermula 6 Disember ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata semua anggota dan pegawai membabitkan kontinjen Sarawak.
Beliau berkata, keanggotaan dari negeri berkenaan dilihat mencukupi, namun Bukit Aman bersedia menambah petugas jika diperlukan.
"Polis sudah bersiap sedia dan kami tidak mempunyai sebarang masalah menghadapi penugasan PRN Sarawak tidak lama lagi.
"Oleh itu, saya menasihatkan orang ramai tidak cuba mencetuskan kekecohan dan mematuhi SOP untuk memastikan PRN ini berjalan lancar," katanya pada sidang media selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN-12 Sarawak diadakan pada 18 Disember dengan tarikh penamaan calon pula pada 6 Disember, manakala pengundian awal diadakan pada 14 Disember.
Mengulas perkembangan lain, Mazlan berkata, sebanyak 2,596 Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan digerakkan di seluruh negara bagi memantau SOP PPN.
Katanya, polis akan memberi penekanan terhadap pematuhan SOP PPN susulan kelonggaran beberapa sektor dan pergerakan orang ramai.
"Orang ramai mula keluar rumah ketika fasa PPN. Bila sudah keluar sudah tentu mereka kadang-kala langgar SOP. Dalam hal ini, kita sediakan 2,956 pasukan untuk pemantauan pematuhan di seluruh negara.
"Untuk Selangor sahaja, kita tubuhkan 339 pasukan, manakala kalau di Gombak kita ada 14 pasukan untuk laksanakan tanggungjawab mereka.
"Kita fokus kepada yang mereka melanggar SOP. Jika mereka degil, kita akan ambil tindakan kompaun mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988)," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan