HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 November 2021

Maslee Malik sah jadi anak murid Anwar, Zahid mungkin akan cemburu

Ahli Parlimen (MP) Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik yang sebelum ini keluar daripada parti Pejuang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad, kini sah menjadi anak murid baharu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan bekas Menteri Pendidikan itu menyertai PKR hari ini dan menjadi anak murid Anwar mungkin akan menyebabkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, cemburu, setelah beliau beberapa kali menipu MP Port Dickson itu sebelum ini.

Zahid yang diberi kepercayaan oleh Anwar untuk menyusun strategi supaya UMNO dapat bekerjasama dengan PKR bagi menghadapi Perikatan Nasional (PN) diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini turut menyatakan sokongan supaya Ketua Pembangkang itu menjadi Perdana Menteri kesembilan.

Malah, Zahid bersama rakan karibnya Datuk Seri Najib Razak pernah menandatangani akuan bersumpah (SD) menyatakan sokongan kepada Anwar, menyebabkan Pengerusi Majlis Pakatan Harapan (PH) itu terlalu gembira, tanpa menyedari beliau hanya dipermainkan.

Hari ini pula, Maslee, yang selepas keluar Pejuang menjadi MP Bebas lebih setahun, sah menjadi anak murid Anwar apabila menjadi ahli PKR.

Beliau mengumumkan penyertaannya di dalam parti yang tidak menang satu kerusi pun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November lalu, dalam program Jelajah Presiden dihadiri Anwar di Dewan JKKK Kampung Baru Machap, Simpang Renggam, hari ini.

“Hari ini, saya, ahli keluarga saya, para penyokong, keluarga besar Simpang Renggam akan mengundi, dan 500 rakyat Simpang Renggam akan menyerahkan borang permohonan keahlian menyertai PKR,” katanya.

Majlis itu turut menyaksikan Maszlee menyerahkan borang keahlian kepada Anwar, berbalas penyerahan replika kad keahlian PKR kepada Maszlee, diakhiri Maszlee menyarung baju-T PKR berwarna biru muda.

Ia bukan rahsia lagi Maszlee yang dilihat cenderung kepada Anwar, malah pada Oktober tahun lalu tular SD yang ditandatanganinya menyokong Anwar sebagai calon PM.

Beliau kini terpelanting dan duduk bersama Anwar dalam blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) walaupun pada awalnya menubuhkan Parti Pejuang bersama Dr Mahathir dan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja tetapi ia tidak bertahan lama apabila termakan pujuk rayu Presiden PKR sehingga bertindak meninggalkan parti tersebut.

Setianya Maszlee kepada Anwar sehingga sanggup meninggalkan Dr Mahathir, kini dilantik pula Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan yang ditubuhkan PH.

Namun, sejarah tidak boleh diubah dan faktanya Maszlee menang di Simpang Renggam adalah kerana Muhyiddin yang meletaknya sebagai calon di kerusi Parlimen itu tetapi mungkin kerana taksub kepada Anwar hingga lupa ingatannya.

Sebagai seorang bekas pensyarah, Maszlee sepatutnya perlu mempunyai sedikit rasa malu dan jujur dalam tindakannya memandangkan lantikannya dalam Kabinet sebelum ini juga atas cadangan oleh Muhyiddin selaku Presiden Bersatu. Tetapi Maszlee sebaliknya tidak mengenang jasa tersebut kerana sudah menjadi fanatik Anwar.

Namun, kini setelah Maslee menjadi anak murid baharu yang setia kepada Anwar, Zahid perlu memikirkan strategi baharu bagaimana untuk kembali mendapat kepercayaan Ketua Pembangkang itu.

 

Tiada ulasan: