MALAYSIA POST
NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyerahkan kepada kepimpinan Umno Sabah membuat keputusan berhubung pendaftaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai gabungan rasmi.
Beliau berkata, perkara ini harus diputuskan sendiri oleh pemimpin Umno di Sabah kerana mereka lebih tahu apa yang terbaik.
“Itu keputusan orang Sabah bah…kita kasi orang Sabah fikir mana yang terbaik,” katanya memetik Utusan Online.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas pelancaran pasukan bergerak Operasi Vaksin Penilaian Pantas (Ravo) hari ini.
Kenyataan tersebut ketika Mahdzir diminta mengulas kekangan yang mungkin dihadapi Barisan Nasional (BN) Sabah sekiranya GRS didaftarkan sebagai gabungan parti politik yang rasmi.
Pada Khamis lalu, Pengerusi Kelab Backbenchers GRS, Datuk Seri Salleh Said Keruak mencadangkan GRS didaftarkan sebagai gabungan parti politik secara rasmi bagi mengelak berlaku pertembungan antara BN dan Perikatan Nasional (PN) seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Salleh Said yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Usukan berkata, PRN Melaka memberi petunjuk jelas untuk pemimpin politik GRS untuk memperkasakan hala tuju GRS.
Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mahu cadangan itu diteliti dan dibincangkan untuk melihat keburukan dan kebaikan jika gabungan tersebut didaftarkan.
“Mungkin itu pandangan peribadi dia (Salleh) namun, bagi pihak Umno Sabah kita sedia berbincang untuk meneliti cadangan tersebut,” katanya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan