HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 November 2021

HSR: ‘Kalau Muhyiddin kembali jadi PM, mungkin batal lagi’ – Shabery

MALAYSIA POST

HSR: ‘Kalau Muhyiddin kembali jadi PM, mungkin batal lagi’ – Shabery

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyambut baik cadangan Malaysia yang mahu projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dibincangkan semua dengan republik itu.

Beliau berkata, walaupun negara terpaksa menangung kerugian berikutan pembayaran pampasan RM320 juta susulan pembatalan projek itu sebelum ini, namun ia masih boleh diterima sekiranya mendatangkan keuntungan lebih besar pada masa hadapan.

Namun, Ahmad Shabery berkata, apa yang membimbangkan ramai penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin masih ‘beriya-ria’ mahu Ahli Parlimen Pagoh itu kembali menjadi Perdana Menteri.

“Khabarnya HSR KL-Singapura nak dibincang semula. Pampasan RM320 juta dah dibayar. Rugi tetap rugi. Cuma kalau rugi secupak untung segantang masih boleh diterima.

“Yang bimbang sikit, ramai penyokong PM 8, masih beriya nak jadikan dia PM ke 10 semula,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Shabery berkata, sekiranya Muhyiddin kembali menjadi Perdana Menteri Ke-10 tidak mustahil beliau akan membatalkan balik mana-mana perjanjian yang sudah dipersetujui.

“Tak mustahil kalau dia batal balik mana-mana yang sudah dipersetujui. Bayar pampasan lagi.

“Pi mai-Pi mai tang tu le. Jiran kita pasti senyum gembira,” sindirnya.

Semalam, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata, republik itu terbuka untuk menerima cadangan baharu daripada Malaysia berkaitan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura walaupun kedua-dua negara sebelum ini bersetuju menamatkan projek tersebut.

Hsien Loong berkata, Kementerian Pengangkutan kedua-dua negara akan membincangkan perkara tersebut dan Singapura berharap menerima butiran lebih terperinci daripada Malaysia.

Pada 1 Januari lalu, Malaysia dan Singapura mengumumkan bersama penamatan projek HSR apabila kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan bagi perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember, 2020.

Pada Mac tahun ini, Malaysia mengumumkan ia membayar SG$102.8 juta (SG$1=RM3.09 juta) kepada Singapura bagi kos yang ditanggung berkait pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penangguhannya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: