HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 November 2021

PAS sentiasa konsisten dalam isu pemimpin wanita – Wan Saiful

MALAYSIA POST

PAS sentiasa konsisten dalam isu pemimpin wanita – Wan Saiful

BERSATU mempertahankan PAS berhubung isu calon Ketua Menteri wanita yang dikemukakan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, PAS dilihat sentiasa konsisten dalam isu calon pemimpin wanita.

Beliau menyentuh bahawa PAS pernah membuat satu muzakarah pimpinan tertinggi PAS di Markfield Islamic Centre, United Kingdom, bertujuan mendapatkan pandangan ulama-ulama besar mengenai beberapa isu, termasuk berkenaan wanita mengetuai pimpinan kerajaan.

“Saya melihat PAS sentiasa konsisten dalam isu pemimpin wanita. Muzakarah di Markfield itu mengabsahkan pandangan mengenai letak-duduknya kemuliaan seorang wanita dalam institusi pentadbiran. Muzakarah itu berlaku pada 1999 lagi.

“Ramai muslimat PAS bertanding dalam pilihanraya, menjadi Ahli Dewan Undangan negeri (Adun), Ahli Parlimen dan juga memegang pelbagai jawatan dalam badan eksekutif negeri dan negara,” katanya.

Sebelum ini Presiden Amanah Mohamad Sabu menyatakan PAS berubah-ubah pendirian mengenai meletakkan seorang wanita sebagai calon Ketua Menteri.

Katanya, Ia berikutan, PAS pernah membantah pencalonan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor, tetapi menyokong Datuk Mas Ermieyati sebagai calon Ketua Menteri Melaka.

Sementara itu Wan Saiful berkata, Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari telah menjelaskan bahawa sikap PAS dalam kes Wan Azizah di Selangor adalah isu merit, bukan gender.

“Apabila merit dijadikan ukuran, sudah tentulah ada yang layak dan ada yang tidak, tanpa mengira gender.

“Jadi tidak benar jika ada mana-mana pihak mahu memberi konotasi negatif mengenai sikap PAS terhadap martabat wanita,” katanya.

Pada PRN Melaka minggu lalu, PN menamakan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri.

Bagaimanapun Mas Ermieyati tewas di kerusi DUN Masjid Tanah, begitu juga PN hanya menang dua daripada 28 kerusi DUN. – Malaysiapost

Tiada ulasan: