KUALA LUMPUR – PKR berpandangan wujud kewajaran untuk gabungan Pakatan Harapan (PH) terus menggunakan logo parti itu pada masa akan datang.
Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pimpinan pusat PKR yang diadakan hari ini.
“Hal ini telah ditekankan pimpinan dan akar umbi PKR dari awal bagi PRU Melaka. Namun oleh kerana PKR memahami sikap sahabat-sahabat di dalam Pakatan Harapan pada ketika itu, maka kami membuat keputusan bersetuju dengan penggunaan logo tersebut (logo yang berbeza).
“Namun, ke hadapan, PKR berpandangan bahawa wujud kewajaran logo PKR digunakan semula. Perkara ini akan dibincang dengan lebih lanjut pada mesyuarat Pakatan Harapan yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 14 November lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu telah membuat keputusan untuk mengguna pakai logo PH dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Guan Eng berkata, penggunaan logo PH itu hanya akan dilaksanakan di Semenanjung Malaysia, sementara Sabah dan Sarawak pula akan diputuskan oleh negeri-negeri terbabit kerana mereka mempunyai kuasa autonomi.
Malah bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan diadakan 18 Disember depan, setiap parti komponen PH Sarawak akan menggunakan logo masing-masing di setiap DUN yang ditandingi.
Pada PRU14, gabungan PH bersetuju untuk menggunakan logo PKR kerana Pendaftar Pertubuhan (ROS) ketika itu tidak memberi jawapan terhadap permintaan untuk PH didaftar sebagai gabungan parti pembangkang yang sah. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan