HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 November 2021

PRN Sarawak: "Belum PRN dah bergaduh.." - Abang Johari

Hasimi Muhamad
PRN Sarawak: "Belum PRN dah bergaduh.." - Abang Johari
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini. - Foto BERNAMA
 
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menegaskan tidak mahu mencampuri urusan pembangkang yang dilihat bertelagah dalam isu pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.
 
Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, situasi itu mencerminkan ketidakstabilan dalam kalangan pembangkang.
 
"Ya itulah... rakyat boleh melihat sebelum tarikh (PRN) sudah ada pergaduhan, kalau ini berlaku bermakna kerajaan tidak akan stabil.
 
“Saya tak tahu apa yang berlaku tetapi saya dari mula dah mempunyai satu pandangan bahawa pihak pembangkang akan menghadapi masalah termasuk parti (pembangkang) dari Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jentera GPS pada PRN Sarawak ke-12, di sini malam ini.
 
Sebelum ini, PKR Sarawak mendakwa DAP negeri itu enggan berunding secara terbuka dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH) berhubung rundingan kerusi bagi PRN Sarawak.
 
Majlis Pimpinan PKR negeri berkata, selama berbulan-bulan mereka cuba bertemu dengan pimpinan tertinggi DAP Sarawak, tetapi berhadapan dengan penolakan kosong.
 
Dalam pada itu, Abang Johari sekali lagi menegaskan bahawa jentera GPS telah lama bersiap sedia menghadapi pilihan raya.
 
“Sebab itu malam ini hanya kita ingatkan, kita perlu mulakan dari sekarang kerana pilihan raya pada 18 Disember.
 
“Kita (akan terus) gerakkan jentera yang pernah ditubuhkan beberapa bulan yang lepas,” ujarnya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Sarawak ke-12 diadakan pada 18 Disember depan.
 
Tarikh penamaan calon pula pada 6 Disember, manakala pengundian awal diadakan pada 14 Disember.

Tiada ulasan: