HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 November 2021

Pas akan terus berunding ‘pujuk’ UMNO-Bersatu bekerjasama

Oleh ROSALINDA MD SAID
AHMAD SAMSURI MOKHTAR

MARANG: Pas akan meneruskan pendekatan rundingan bagi merealisasikan hasrat parti itu menyatukan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam sebarang bentuk kerjasama politik.

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, parti itu tidak akan berputus asa sebaliknya, berjiwa besar untuk meneruskan agenda penyatuan ummah yang menjadi perjuangan Pas selama ini.

“Saya optimis kalau kita berusaha, semua pihak boleh duduk berunding dan berbincang ke arah kerjasama,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan persekolahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Dewan Majlis Daerah Marang di sini hari ini.

Baru-baru ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menolak gagasan Muafakat Nasional (MN) yang terbelenggu dengan pembabitan hanya UMNO dan parti itu sahaja.

Abdul Hadi berkata, Pas juga menolak fahaman yang menafikan kewujudan masyarakat majmuk yang wajib disertai oleh gagasan lebih besar iaitu Perikatan Nasional (PN), sekali gus menegaskan MN yang ada perlu diubah bentuk dan ikatannya, kerana berlaku perubahan situasi serta realiti.
Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, proses perbincangan antara Pas-UMNO dalam MN akan berdepan kesukaran jika segelintir kepemimpinan parti berkenaan masih bersikap ‘abang long’.

“Kalau sentiasa jadi abang long susahlah, Pas sangat terbuka kerana objektif kita besar ke arah muafakat politik melibatkan seluruh parti berteraskan orang Melayu dan Islam sekali gus dapat bekerjasama dalam pelbagai bidang,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: