HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 November 2021

PAS akan bertanding pada PRN Sarawak

HARAKAH DAILY
 

KUALA LUMPUR: PAS membuat keputusan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 dan akan memutuskan jumlah kerusi setelah berunding bersama PAS Sarawak.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata perundingan itu dijadualkan berlangsung bersama PAS Sarawak pada hujung minggu ini.

“PAS akan bertanding di Sarawak, dan memutuskan jumlah kerusi setelah perundingan dengan PAS Sarawak pada hujung minggu ini.

“PAS yakin pengundi Sarawak akan memberi undi kepada calon yang diturunkan terdiri daripada anak Sarawak dari pelbagai bidang kepakaran dan ketokohan,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar lebih terbuka dalam kempen dan gerak kerja PRN.

Katanya, hal ini berikutan situasi liputan media yang dilihat sangat terbatas di Sarawak yang menyukarkan penggunaan media baharu dalam kempen.

Selain itu, beliau turut melahirkan rasa dukacita dengan kenaikan mendadak tiket penerbangan ke Sarawak, dan mengganggap hal sedemikian tidak sepatutnya berlaku.

Pada Rabu, SPR menetapkan 18 Disember sebagai tarikh pengundian bagi PRN Sarawak ke-12 sementara penamaan calon pada 6 Disember dan pengundian awal 14 Disember.

SPR tidak dapat mengadakan PRN Sarawak selepas tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada 6 Jun lepas berikutan perisytiharan darurat di seluruh negara ketika itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di seluruh negara pada 11 Jan sehingga 1 Ogos, bagi mengekang penularan Covid-19.

Apabila darurat di seluruh negara berakhir pada 1 Ogos, Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Sarawak bermula 2 Ogos hingga 2 Feb 2022. Darurat itu ditarik balik pada 3 November, sekali gus membolehkan SPR mengadakan pilihan raya Sarawak.

Susulan penamatan darurat itu, DUN Sarawak turut terbubar pada 3 November, memberi laluan kepada PRN ke-12 di Sarawak yang mempunyai 82 kerusi DUN. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: