HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 November 2021

GRS contoh terbaik tangani kemelut politik negara

Oleh BASITH ABDUL SAMAD
 

KINABATANGAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) boleh menjadi contoh yang baik kepada gabungan parti di Semenanjung.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Hendri Hamsah, berkata Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) sewajarnya meneladani politik GRS dalam menyelesaikan kemelut mereka.

“Hasil gabungan bersama PN, BN dan PBS dalam GRS semasa Pilihan Raya negeri (PRN) Sabah yang lepas, kita telah mendapat mandat rakyat yang kukuh.

“Ini menunjukkan rakyat mahukan satu pemerintahan dan gabungan parti yang stabil untuk mentadbir negeri,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, Pemuda PAS negeri turut menggesa GRS dapat diperkasa dengan mendaftarkan ia sebagai gabungan rasmi secepat yang mungkin.

“Hal ini penting bagi mengelakkan mandat dan kepercayaan yang rakyat telah beri disia-siakan dengan perebutan kuasa,” katanya.

Selain itu, beliau berpandangan penyatuan ummah perlu lebih bersifat menyeluruh dan terbuka, bukan disempitkan dan terikat dengan kelompok tertentu.

Menurutnya, keamanan dan kestabilan negara ini dapat dicapai dengan memperkasakan MN dan PN.

“PN dan MN boleh diperkuatkan dengan gabungan Melayu dan Islam serta bumiputera yang mempunyai keikhlasan demi kestabilan politik negara.

“Langkah pemerkasaan dua gabungan parti ini penting dalam membentuk kebersamaan berganding bahu mentadbir negara,” katanya lagi.

Semalam, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ahmad Fadhli Shaari, mengeluarkan kenyataan DPPM mendukung penuh kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkenaan pendirian PAS dalam MN dan PN.

Beliau menegaskan penyatuan ummah tidak harus terikat dengan kelompok tertentu dan aspek yang paling besar dalam memperkukuhkan penyatuan ummah seharusnya menyatukan semua lapisan masyarakat dan melibatkan semua pihak bagi meraikan kemajmukan masyarakat di Malaysia.

Sehubungan itu, kata Hendri Pemuda PAS negeri menyokong penuh pendirian yang ditegaskan oleh DPPM dan Presiden PAS.HARAKAHDAILY

 

Tiada ulasan: