MALAYSIA POST
MIC akan kekal teguh bersama Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam gabungan berkenaan.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, MIC bertegas tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebaliknya terus kekal sebagai parti gabungan BN.
“Kita tak pernah keluar daripada BN, daripada awal. MIC memang bersama BN, tetapi kadang-kadang ada pandangan yang berbeza.
“Ini tak bererti MIC bukan dengan BN. Bagaimanapun setakat ini pada masa hadapan masih dengan BN,” katanya seperti dilaporkan FMT.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengumuman barisan baharu kepimpinan MIC 2021-2024 di Ibu Pejabat MIC, hari ini.
Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, MIC yakin kekuatan BN bertambah kukuh selepas menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.
“Tiada yang berubah setakat ini (bersama BN). Kita tak pernah pergi pun (PN). Baru-baru ini kita telah hadapi PRN di Melaka dengan payung (bendera) BN dan MIC menang kerusi ditandingi,” katanya.
Sementara itu, ditanya sama ada pimpinan tertinggi MIC akan menjadi calon untuk bertanding kerusi Parlimen pada PRU15, beliau berkata ia akan diputuskan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran.
“Itu bergantung kepada pucuk pimpinan MIC. Setakat ini kuasa mutlak Presiden menentukan calon. Tak perlu bincang. Presiden akan putuskan,” katanya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan