HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 November 2021

ADUN pembangkang Selangor dapat peruntukan setara ADUN kerajaan

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada sidang media selepas Belanjawan Selangor 2022 di SUK Selangor, Shah Alam. NSTP/FAIZ ANUAR
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada sidang media selepas Belanjawan Selangor 2022 di SUK Selangor, Shah Alam. NSTP/FAIZ ANUAR

SHAH ALAM: Selangor mengumumkan peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Selangor akan dinaikkan sehingga RM400,000 tahun depan berbanding RM150,000 pada ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata peruntukan kepada ADUN pembangkang Selangor itu diberikan dengan mengambil kira semangat 'Kita Selangor'.

"Kita dimaklumkan bahawa sejumlah RM400,000 turut akan disalurkan kepada mereka (ADUN pembangkang) oleh Kerajaan Persekutuan melalui Unit Penyelarasan Persekutuan (ICU JPM).

"Ini menjadikan jumlah peruntukan yang diterima ADUN pembangkang berjumlah RM800,000 iaitu setara dengan jumlah peruntukan yang diterima oleh Ahli-Ahli Dewan Negeri Kerajaan.

"Sementara untuk ADUN bebas yang menyokong kerajaan negeri akan menerima peningkatan peruntukan sehingga RM500,000 tahun depan.

"Baki peruntukan akan diselaraskan oleh penyelaras yang dilantik oleh kerajaan negeri," katanya dalam pengumuman khas Belanjawan Selangor 2022, petang tadi.

Amirudin berkata, keputusan dibuat selari dengan konsep Iltizam Selangor Penyayang yang mana rakyat adalah keutamaan tidak mengira pandangan politik dan sesuai dengan peranan Selangor sebagai negeri contoh di Malaysia.

"Memandangkan ahli-ahli Parlimen pembangkang di peringkat Persekutuan masing-masing akan menerima peruntukan kawasan dari Kerajaan Persekutuan mulai tahun depan, kerajaan negeri akan menyalurkan RM50,000 tambahan bagi tujuan pengurusan pejabat," katanya.

Tiada ulasan: