HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 November 2021

Masuk PKR, Maszlee nafi jadi katak politik

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik menafikan dirinya adalah katak politik selepas menyertai Parti Keadilan Rakyat hari ini.

Maszlee yang merupakan bekas pemimpin Bersatu sebelum dipecat daripada parti itu berkata, dia masuk PKR tanpa menerima apa-apa keuntungan politik.

“Yang digelar katak-katak politik itu melompat masuk daripada satu parti ke parti lain untuk labuan, untuk jawatan, untuk kedudukan, untuk laba kewangan.

“Apabila kita mengambil langkah bersama parti yang kalah, yang lemah demi untuk membela rakyat, demi untuk mengembalikan agenda reformasi. Itu bukan katak. Itu adalah perjuangan untuk negara.

“Saya tidak masuk mana-mana parti untuk laba keuntungan. Saya tidak mahu menjadi seorang oppurtunis politik yang kerjanya menukar parti untuk mendapat jawatan dalam kerajaan ataupun wang ganjaran dan kedudukan,” katanya.

Maszlee mengumumkan penyertaannya ke dalam PKR ketika menghadiri program Jelajah Presiden yang dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan JKKK Kampung Baru Machap sebentar tadi.

Menurutnya, kemasukan ke dalam PKR tidak diberikan sebarang ganjaran, mahupun kedudukan.

Tambah beliau, PKR menawarkan dirinya harapan untuk membela masa depan baharu kepada rkayat.

“Jikalau nak jadi katak, nak jadi kaya dan lumayan, baik kita lompat masuk ke BN, ataupun kembali ke parti Bersatu,” katanya.

Maszlee sebelum ini merupakan seorang ahli akademik yang menyertai Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dan menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Parlimen Simpang Renggam.

Beliau pernah menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan dilantik sebagai Menteri Pendidikan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), namun meletak jawatan susulan beberapa kontroversi.

Maszlee dipecat dari Bersatu pada Mei tahun lalu susulan konflik dalaman yang tercetus akibat keputusan parti itu untuk keluar daripada PH.

Beliau kemudian memutuskan untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas pada November tahun lalu selepas beberapa bulan bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan PH. –SM

Tiada ulasan: