HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 November 2021

Bertanding di Johor: Anwar tanya di mana?

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
ANWAR Ibrahim menyampaikan simbolik kad keahlian kepada Maszlee Malik yang menyertai PKR pada program Jelajah Presiden di Dewan JKKK Kampung Baru Machap di Kluang, Johor.

KLUANG: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap masih terlalu awal untuk beliau memutuskan bertanding di kerusi mana pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

Pada masa sama Ahli Parlimen Port Dickson itu juga tidak menafikan dakwaan tersebut yang mula diperkatakan ramai apabila beliau sedang mengintai kerusi Parlimen di Johor.

“Yaka? Di mana? Simpang Renggam dia (Dr. Maszlee Malik) tidak bagi tapi seperti mana biasa ini terlalu awal.

“Mereka baca (nampak) sebab saya datang ke sini di Kluang dan Simpang Renggam. Saya tidak kata tidak, tapi saya tak tahu,” katanya ketika ditemui selepas Program Jelajah Presiden di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar menerima borang keahlian PKR daripada Maszlee dan 500 ahli baharu ke dalam Cabang Simpang Renggam di Dewan JKKK Kampung Baru Machap.

Sebelum ini, terdapat ura-ura Ketua Pembangkang itu mungkin akan bertanding di Batu Pahat, Tebrau atau Segamat yang kini disandang bekas wakil rakyat PKR yang melompat ke parti lain.

Mengulas penyertaan Maszlee ke dalam PKR, Anwar berkata, kemasukan Ahli Parlimen Simpang Renggam itu memberi suntikan baru yang sangat bermakna kepada parti.

“Beliau mewakili barisan golongan muda yang boleh memperkuatkan lagi kedudukan parti,” katanya.

Ketika ditanya adakah ia memberi bayangan awal Maszlee akan mempertahankan kerusi Simpang Renggam di bawah tiket PKR, Anwar berkata perbincangan ke arah itu akan dilakukan selepas ini.

“Soal kerusi belum lagi kita bincang tapi tentulah kenyataan beliau diambil kira tentang prestasinya sebagai antara Ahli Parlimen yang banyak turun ke bawah dan prestasi ketika menjadi menteri yang saya percaya akan diberi pertimbangan,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: