HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 November 2021

‘Walau 10 kolam pun kami sudi, asalkan PH tidak berkuasa’ – Fadhli

MALAYSIA POST

‘Walau 10 kolam pun kami sudi, asalkan PH tidak berkuasa’ – Fadhli

PAS menegaskan parti Islam itu boleh ‘bermain 10 kolam’ demi memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak kembali berkuasa selain membawa agenda perpaduan ummah.

Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, PAS tidak dibuai kedudukan dan jawatan sehingga gagal menyatakan pendirian sama ada hendak bekerjasama dengan Muafakat Nasional (MN) bersama Umno, atau Perikatan Nasional (PN) dengan Bersatu.

“Bukan setakat dua kolam, 10 kolam pun kami boleh main demi perpaduan ummah dan memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak berkuasa kembali,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata demikian menyangkal dakwaan kononnya parti Islam itu ‘bermain dua kolam’ menyokong Umno serta Bersatu semata-mata untuk mempertahankan kedudukan dalam kerajaan.

Beberapa pemimpin Umno sebelum ini mendesak PAS berhenti ‘berenang di dua kolam’ dan memilih sama ada bersama Bersatu atau Umno.

Bagaimanapun, Ahmad Fadhli menjelaskan, tindakan PAS bersama dengan Bersatu dilakukan demi memastikan parti itu tidak merasa terasing sehingga membuka ruang ‘dipancing’ semula ke dalam PH, seterusnya memberi peluang PH kembali berkuasa.

Katanya, tidak timbul persoalan PAS mahukan jawatan kerana ketika era Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, parti itu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mempunyai bilangan kerusi sama di Parlimen tidak memboikot kerajaan meskipun PAS tidak mendapat jawatan menteri kanan.

“PAS sebenarnya tak selesa dengan situasi sekarang apabila terpaksa bersama dengan PN dan terpaksa menentang Umno dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Tapi apa lagi pilihan yang kita ada?

“Adakah kita mahu mengetepikan Bersatu yang jelas telah berjasa sehingga menjatuhkan PH, dalam keadaan Umno begitu cekal menolak Bersatu. Kalau kita buat langkah demikian, saya yakin Bersatu akan semakin jauh dan tidak mustahil Bersatu akan bersama PH kembali,” katanya.

Semalam, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mendakwa segelintir pendukung dalam MN mula dibuai kerusi empuk dan rasa selesa dengan kuasa yang ada sehingga melupakan semangat kerjasama serta cenderung kepada PN.

Mohamad berkata, agenda perpaduan ummah dan penyatuan merentasi politik telah ‘hilang’ apabila timbul kecenderungan melihat PN sebagai jalan pintas untuk berkuasa.

Menurutnya, kelalaian itu membawa persepsi seolah-olah semua masalah dan kepentingan Melayu-Islam telah selamat dalam dakapan PN. – Malaysiapost

Tiada ulasan: