DAP Sarawak membidas Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak memandai dan membuat keputusan mengikut sesuka hatinya dalam isu agihan kerusi Pakatan Harapan (PH) yang didakwa mereka kononnya sebagai tidak sah.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Cheng Jien membidas Anwar dan juga PKR Sarawak supaya memberi fokus penuh kepada 47 kerusi yang akan mereka tandingi di bawah persetujuan bersama dan berusaha memenangi sebanyak mungkin kerusi.
“Jangan bazirkan masa dan tenaga yang berharga untuk merebut kerusi hingga terlupa matlamat untuk menang dalam perang menentang GPS (Gabungan Parti Sarawak),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar sebelum ini berkata PH akan meneruskan rundingan pembahagian kerusi, termasuk peruntukan untuk Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang menimbulkan rasa tidak puas hati DAP Sarawak.
Cheng Jien bertegas rundingan kerusi sebelum ini yang dipelopori bekas Pengerusi PKR Sarawak, Larry Sng adalah sah walaupun Anwar mendakwa ia tidak mendapat persetujuan akar umbi.
Pada 2 Jan lalu, PH Sarawak bersetuju agar PKR bertanding di 47 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala DAP 26 dan Amanah di sembilan kerusi yang lain.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Sng, Cheng Jien dan Pengerusi Amanah Sarawak Abang Abdul Halil Abang Naili.
Sebulan kemudian, Sng melompat meninggalkan PKR untuk menjadi Ahli Parlimen bebas yang mesra Perikatan Nasional (PN).
Jelas Cheng Jien, persetujuan di antara tiga parti terbabit didahului dengan banyak pusingan rundingan dan bukan sekadar melibatkan Sng, malah turut kerap dihadiri beberapa ahli jawatankuasa negeri dari PKR, seperti Joshua Jabeng dan Abang Zulkifli Abang Engkeh yang kini adalah pemangkuimemangku jawatan pengerusi PKR Sarawak.
“Pada hari tersebut, Sng menandatangani (persetujuan) bagi pihak jawatankuasa PKR negeri, yang ramai juga hadir. Itu merupakan keputusan jawatankuasa negeri secara keseluruhan, bukan keputusan Sng seorang.
“Hanya kerana Sng kemudian meninggalkan PKR, ia tidak bermaksud semua keputusan terdahulu terbatal dan harus dikaji semula.
“Bukan begitu caranya (dalam) perjanjian. Ia perjanjian di antara parti dengan parti, perubahan seorang pemegang jawatan tidak memberi kesan kepada kesahihan perjanjian itu.
“Di pihak kami pun (DAP Sarawak) telah mengalah dalam beberapa kerusi bagi mencapai perjanjian pada 2 Jan itu,” katanya lagi.
DAP Sarawak sebelum ini mengumumkan calonnya bagi 18 kerusi yang bakal ditandingi mereka, termasuk di Kemena, Senadin, Pujut dan Piasau.
PKR Sarawak sebelum ini meminta untuk bertanding di empat kerusi tersebut, tetapi DAP “enggan terlibat dalam sebarang rundingan”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan