Tindakan Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang secara terbuka mendedahkan perbincangan rahsia melibatkan UMNO dan PAS amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku, kata Ahmad Fadhli Shaari.
Ketua Pemuda PAS itu berkata Asyraf perlu lebih sensitif dan tidak mengeluarkan kenyataan yang mengguriskan hati rakan parti lain, tindakan Asyraf itu disifatkannya sebagai tidak matang dan kesal dengan apa yang berlaku.
“Saya ada ramai sahabat dalam Pemuda UMNO. Saya yakin tidak semua yang bersikap seperti yang ditunjukkan oleh Ketua Pemuda UMNO.
“Saya juga agak kesal dengan apa yang berlaku, sepatutnya beliau lebih kepada kenyataan untuk membina jambatan, memperkukuhkan MN (Muafakat Nasional), bukan dengan cara mendedahkan rahsia-rahsia ataupun perbincangan-perbincangan yang mengguris hati rakan. Saya hanya respons terhadap kenyataan yang dikeluarkan,” katanya dipetik dalam wawancara dengan Utusan Malaysia.
Kedua-dua Ketua Pemuda itu baru-baru ini selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berperang mulut dengan saling menyindir satu sama lain.
Asyraf menyindir PAS dengan jika mereka menerima pelawaan UMNO tempoh hari, sudah tentu parti itu akan punya wakil di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan mudah termasuk di Bukit Katil yang sejak dari awal ditawarkan UMNO bagi mengalahkan musuh tradisi mereka Amanah.
“Patutnya tidak perlulah bernada angkuh nak gugat kubu kuat BN atau tidak. Lagipun bukankah PAS berulang kali sebut nak lawan DAP-PH (Pakatan Harapan)?
“Kenyataan sebegini buat kita jadi keliru, musuh PAS ni siapa sebenarnya?,” kata Asyraf sambil meletakkan keratan akhbar Utusan bertajuk ‘Pas, PN masih mampu gugat kubu kuat BN’ yang memaparkan gambar Ahmad Fadhli.
Ahmad Fadhli membalas kenyataan Asyraf itu dengan menyindirnya dua kali kalah pilihan raya sebelum ini.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga menasihatkan Asyraf Wajdi supaya menjaga taraf dengan melakukan sedikit kajian sebelum memberi sebarang ulasan.
“Buat kerja rumah sikit ye, jaga taraf kita tu. Ops maaf, dua kali bertanding pilihanraya dua kali kalah, what do you expect.
“Tidak ada pun dalam kenyataan saya yang PAS mahu gugat kubu BN. Bacalah betul2 sebelum buat komen tu, anda kan Ketua Pergerakan Pemuda,” kata Ahmad Fadhli sebelum ini.
Katanya lagi, kenyataan dikeluarkan bukan bertujuan untuk menyerang Asyraf tetapi sebaliknya memberikan penjelasan terhadap isu yang dibangkitkan sahaja.
“Jadi apabila berlaku serangan demi serangan, maka menjadi tanggungjawab Pemuda PAS memberikan pencerahan, bukan bererti untuk menyerang balas.
“Namun saya masih optimis dalam Pemuda UMNO masih ramai tokoh yang lebih objektif dan jujur dalam membina hubungan PAS dengan UMNO,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan