HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 November 2021

Tok Mat sindir beberapa pendukung MN enak dibuai kuasa bersama PN

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan seolah-olah menyindir beberapa pendukung Muafakat Nasional (MN) yang mula dibuai kerusi empuk dan selesa memegang tampuk kekuasaan bersama Perikatan Nasional (PN).

Tanpa merujuk siapa pihak berkenaan, namun dipercayai ditujukan kepada beberapa pemimpin PAS, beliau berkata UMNO cuba memperkukuhkan MN dari segenap sudut, tetapi pembentukan PN menyebabkan ianya tidak berseri dan seolah-olah tidak bererti lagi.

“Sebahagian dari pendukung MN tiba-tiba cenderung melihat PN sebagai jalan pintas untuk berkuasa. Mantera perpaduan ummah, laungan penyatuan merentas politik, hilang dan dilupakan.

“Ramai yang mula dibuai kerusi empuk dan berasa enak memegang tampuk kekuasaan. MN secara perlahan-lahan seakan dilepas dan dilupakan.

“Seolah-olah semua masalah dan kepentingan Melayu-Islam itu telah selamat dalam dakapan PN,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Beliau yang mesra dengan panggilan Tok Mat berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang kelmarin.

Antara lain Abdul Hadi berkata hakikat perlu diterima bahawa PN adalah gagasan politik yang lebih besar, perlu berperanan dan berkuasa dalam negara masyarakat majmuk ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata PAS menolak MN yang terbelenggu dengan hanya melibatkan UMNO dan PAS sahaja, selain mengetepikan fahaman yang menafikan adanya masyarakat majmuk yang wajib ditangani oleh gagasan yang lebih besar iaitu PN.

Mengulas lanjut, Mohamad sekali lagi mengingatkan PAS bahawa Bersatu adalah seteru politik yang nyata bagi UMNO, dan PAS tidak boleh memaksa mereka menerima parti komponen PN itu.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) juga berpendapat PAS boleh terus bersama PN manakala UMNO akan kekal dengan BN, namun perbincangan kedua-dua parti boleh diadakan menerusi MN sekiranya timbul kemaslahatan ummah.

“PAS telah memilih PN, dan UMNO menerima keputusan tersebut. Dengan hati terbuka, (dan sedikit terluka). Kerana UMNO sejak awal faham. Ia tidak boleh meletakkan MN sebagai penghalang kerjasama politik antara PAS dan PPBM.

“Dan PAS pula tidak boleh menggunakan MN untuk memaksa UMNO menerima PPBM kerana kami adalah seteru politik yang nyata. Namun, itu tidak bermakna MN itu akan ditinggalkan dan sudah tidak relevan. PAS teruslah dengan PN dan UMNO pula teruslah dengan BN.

“Tetapi jika ada kemaslahatan ummah yang memerlukan UMNO dan PAS bertemu dan berbincang, MN harus menjadi arenanya,” katanya.

Mohamad berkata orang Melayu sebenarnya tidak berpecah dengan teruk, namun kesatuan antara UMNO dan PAS di dalam MN pula bukan bermakna Melayu telah kuat.

Tiada ulasan: