AYER KEROH – UMNO mengulangi kenyataan bukan parti itu yang menarik sokongan terhadap kerajaan Melaka pada awal Oktober lalu.
Ketua Pergerakan Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, gabungan Pakatan Harapan (PH) merupakan dalang utama dalam episod hitam yang menyaksikan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) tumbang.
“Bukan UMNO yang tarik sokongan tapi empat Si Kitul (empat ADUN) yang dibelakangkan PH, kalau PH tak di belakang mereka, kerajaan negeri Melaka tidak akan jatuh.
“Ini yang dicaturkan presidennya sendiri yang berhajat besar nak jadi Perdana Menteri yang akhirnya dia cuma berikan janji palsu kepada mereka termasuk bekas Ketua Menteri (Datuk Seri Idris Haron),” katanya dalam program Pentas Anak Muda secara langsung di Facebook malam ini.
Awal Oktober lalu, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepimpinan kerajaan negeri itu.
Mereka adalah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) yang menyatakan hilang sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri ke-12.
Idris kini merupakan ahli PKR merupakan calon PH bagi DUN Asahan sementara Nor Azman Hassan mewakili Parti Amanah Negara (Amanah) yang bertanding di DUN Pantai Kundor.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, Idris turut diketepikan apabila gabungan itu menamakan bekas ketua menterinya, Adly Zahari menjadi calon tunggul PH untuk jawatan itu.
“Akhirnya kalau dia bersama Anwar, dia akan jadi ketua menteri, tapi dia pun kena kencing. Kita serah kepada rakyat kerana kita perlukan mandat yang betul untuk pastikan Melaka terus stabil,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan