HALAMAN SANTAI

Isnin, 8 November 2021

Jangan terpengaruh cubaan melaga-lagakan Pas-Umno

MALAYSIA POST

Jangan terpengaruh cubaan melaga-lagakan Pas-Umno

AHLI Pas dan Umno jangan terpengaruh dengan media yang cuba melaga-lagakan kedua parti itu dan tidak perlu mengungkit cerita silam untuk merungkai perpaduan.

Pemimpin Pas, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, perlu diingatkan bagaimana Muafakat Nasional (MN) ditubuhkan dengan air mata kegembiraan ahli kedua-dua parti itu pada 14 September 2019 menerusi piagam yang ditandatangani bersaksikan pimpinan dan ahlinya.

“Ia berlaku selepas Majlis Syura Ulamak, Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan Muktamar sebulat suara meluluskan usulnya. Barakah keputusan jamaei sebegini pasti memberi kebaikan besar kepada umat.

“Dengan MN, Pas melangkah ke hadapan dengan mengajak Bersatu dan sebahagian PKR bersama dengan agenda penyatuan lalu akhirnya tumbanglah kerajaan PH (Pakatan Harapan) dan naiklah kerajaan yang dinamakan PN (Perikatan Nasional) hasil kesepakatan bersama pada Mac 2020. Itulah sejarah yang tidak boleh dipadamkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, pertandingan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagaikan pertandingan adik-beradik bagi berlumba menawarkan kebajikan dengan mengemukakan calon terbaik.

Katanya, pertembungan tiga penjuru termasuk dengan Barisan Nasional (BN) tidak bererti MN berakhir.

“Usah menari ikut tarian PH. Ramai yang sedang membisikkan permusuhan. Usah berdendang lagu dan lirik syaitan yang menyeru pada perbalahan dan pergaduhan.

“Kempen kita adalah kempen berhemah menjelaskan misi dan perancangan politik. Usah terlajak menyerang Umno atau BN, rakan kita dalam MN. Fokuskan peluru untuk menghadapi PH,” katanya. – Malaysiapost

 

Tiada ulasan: