NAIB Presiden PKR, Rafizi Ramli menyelar tindakan kepemimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) yang berkeras supaya Pakatan Harapan (PH) menerima empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 November depan.
Menurut Rafizi, perkara sama pernah berlaku semasa rundingan permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai PH pada tahun 2016.
Pada ketika itu, beliau dan beberapa pimpinan PKR dalam Majlis Presiden berkeras supaya Bersatu hanya diterima sebagai sekutu pilihan raya, bukannya anggota PH.
Namun begitu, beliau berkata, kepemimpinan Amanah dan DAP berkeras mahukan Bersatu sebagai anggota PH dengan alasan PKR tidak kuat dan berpecah.
“Sekarang alasan yang sama digunakan pimpinan Amanah, konon (Datuk Seri) Idris Haron dan lain-lain akan bawa lonjakan di Melaka.
“Sudah sampai masanya Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Pengerusi Amanah Melaka, Adly Zahari pula cuba meyakinkan pendukung PH di luar ini kot belah mana kemasukan ‘katak’ politik akan memberi lonjakan yang boleh memenangkan PH di Melaka,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan mendakwa, perangai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dijadikan alasan PH memerlukan pimpinan baharu daripada Bersatu kerana PKR kononnya tidak kuat mendisiplinkan Mohamed Azmin yang mahu bersama-sama Pas.
Katanya, PKR juga diberikan kata dua supaya tidak lagi bersama PH kerana Amanah dan DAP sudah membuat keputusan menerima Bersatu.
Demi mengekalkan PH, Rafizi mendedahkan terpaksa bersetuju dengan syarat ada perjanjian ketat.
“Itulah latar belakang kacau bilau. Perjanjian ke laut, strategi ‘lonjakan yang dibawa Bersatu’ juga ke laut sebab Bersatu melonjak katak.
“Masalahnya mereka berkokok dalam mesyuarat PH kerana dalam PH, parti besar mana pun bila menjadi anggota ada undi yang sama.
“Di luar mereka senyap kerana sudah jadi amalan yang akan kena hentam PKR yang selalu kena jawab di luar.
“Kalau saya, kena sekali cukuplah. Sampai mati saya takkan lupa pengajaran itu sebab kalau kena dua tiga kali atas kesilapan sama, namanya ‘kurang cerdik’,” katanya lagi.
Empat ‘katak’ yang dimaksudkan Rafizi ialah ADUN BN-Sungai Udang, Idris; ADUN BN-Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; ADUN PPBM-Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad; dan ADUN Bebas-Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan