Bernama
Muhammad
Sanusi berkata pindaan rang undang-undang itu adalah selari dengan
pindaan Perlembagaan Persekutuan sebelum ini. - Gambar/ Bernama
ALOR SETAR:
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini meluluskan pindaan Rang
Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah (Pindaan 2021) bagi menurunkan
kelayakan umur daripada 21 kepada 18 tahun untuk individu bertanding
sebagai calon di kerusi DUN pada pilihan raya.
Pindaan
rang undang-undang itu dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Muhammad
Sanusi Md Nor dan dibahaskan oleh beberapa ahli DUN (ADUN) sebelum
diluluskan selepas dibacakan kali ketiga.
Terdahulu
semasa sesi perbahasan itu, Datuk Phahrolrazi Zawawi (Amanah-Alor
Mengkudu) berkata sejajar dengan pindaan tersebut, golongan belia perlu
didedah dan diberi kefahaman di peringkat persekolahan mengenai sistem
politik dan pemerintahan yang diamalkan di negara ini.
"Dalam
pendidikan atau subjek di sekolah, sebelum pelajar itu meninggalkan
alam persekolahan mesti diterangkan dalam subjek mengenai sistem negara
demokrasi dan raja berpelembagaan bagi memberi kefahaman politik negara,
kalau tidak mereka tidak faham dan mengundi ikut suka," katanya.
Bagi
Datuk Zamri Yusuf (PKR-Suka Menanti), pindaan itu akan memberi peluang
kepada golongan belia khususnya berusia 18 hingga 20 tahun untuk menjadi
ADUN dan terlibat dalam menentukan perkara-perkara berkaitan dengan
mereka.
"Ketika ini, banyak urusan dan
kepentingan sama ada di peringkat negeri atau negara berkaitan dengan
golongan belia berusia 18 tahun ke atas, bagi saya kelayakan ini memberi
keadilan kepada mereka untuk turut serta dan saya harap pindaan ini
diwartakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15," katanya.
Sementara
itu, Muhammad Sanusi dalam sidang media selepas persidangan DUN berkata
pindaan rang undang-undang itu adalah selari dengan pindaan
Perlembagaan Persekutuan sebelum ini yang menurunkan umur kelayakan
mengundi daripada 21 kepada 18 tahun yang diluluskan pada 2019.
"Undang-Undang
Tubuh Kerajaan Negeri Kedah ini dipinda untuk memberi ruang atau
membenarkan dari segi undang-undang kepada warganegara berumur 18 tahun
boleh menjadi calon bagi DUN Kedah dan undang-undang ini telah
diluluskan," katanya.
Persidangan DUN Kedah ditangguhkan hari ini dan akan disambung ke suatu masa yang akan ditetapkan kelak.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan