
SEMUA calon baharu yang diumumkan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diingatkan supaya bekerja lebih kuat bagi membantu membentuk kerajaan.
Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang bakal mempertahankan kerusi kawasan itu berkata, semua calon baharu perlu turun padang dan memperkenalkan diri kepada pengundi.
Kata beliau, banyak usaha kerajaan sebelum ini yang telah direncana tetapi tertangguh kerana pembubaran DUN.
“Kita ada agenda dan banyak misi yang perlu kita lakukan. Jadi, semua calon muka baharu ini diharap dapat turun ke bawah dan maklumkan kepada pengundi.
“Bekerjalah dengan baik dan ingat kita ada tugas sungguh mencabar apabila dapat membentuk kerajaan nanti.
“Ingat supaya terus bekerja dengan kuat kerana banyak perkara kita nak selesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon BN, hari ini.
Sulaiman merupakan salah seorang daripada empat penyandang kerusi DUN yang dikekalkan BN dalam PRN Melaka.
Calon lain adalah Datuk Rahmad Mariman di DUN Ayer Molek dan Datuk Zaidi Atan di DUN Serkam.
Seorang lagi penyandang jawatan yang akan kembali bertanding adalah Datuk Muhammad Jailani Khamis di DUN Rembia yang menang atas tiket PKR sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
BN yang akan bergerak solo dalam PRN Melaka meletakkan calon di kesemua 28 DUN dengan UMNO bertanding di 20 kerusi diikuti tujuh bagi MCA dan satu untuk MIC.
Dalam majlis pengumuman calon itu, Timbalan Pengerusi BN merangkap Pengarah Pilihan Raya, Datuk Seri Mohamad Hasan turut mengumumkan Sulaiman sebagai calon ketua menteri sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan.
“Ini (Sulaiman) adalah ‘poster boy’ kita yang akan menjadi Ketua Menteri selepas pilihan raya nanti tapi kena menang dululah,” kata Mohamad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan