HALAMAN SANTAI

Isnin, 8 November 2021

Penampilan sulung PUTRA, bertanding 5 kerusi PRN Melaka

ibrahim
IBRAHIM ALI

PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) membuat penampilan sulung dengan meletakkan lima calon termasuk seorang wanita dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Calon wanita itu merupakan Ketua Biro Wanita Putra Melaka Laila Norinda Maon,44, seorang usahawan akan mewakili parti itu untuk kerusi DUN Gadek.

Empat lagi calon mewakili PUTRA ialah Pengerusi Perhubungan PUTRA Melaka, Dr Aluwi Sari, 55 bertanding di kerusi DUN Pengkalan Batu; Ketua Wira PUTRA negeri, Mohamad Hashidi Mohd Zin, 32 (Paya Rumput); Nazatul Asyraf Md Dom, 38 (Sungai Rambai); dan Ketua Bahagian PUTRA Melaka, Mohd Faizal Amzah (Duyong).

Presiden PUTRA, Datuk Ibrahim Ali, berkata semua calon berkenaan dipilih berdasarkan beberapa kriteria termasuk latar belakang pendidikan, usia serta komitmen mereka dalam mendukung perjuangan parti itu sebagai alternatif kaum Melayu dan Bumiputera.

Paling utama, katanya, adalah rekod bersih calon meskipun masih belum pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

“Semua calon yang dipilih adalah terdiri daripada golongan profesional dan korporat selain usia semua calon yang dilihat sangat seimbang dan sesuai untuk menjadi wakil rakyat,” katanya.

Pada penyerahan watikah calon berkenaan, semua calon PUTRA menandatangani surat akuan bersumpah (SD) dan melakukan sumpah laknat mengelak tindakan lompat parti jika memenangi kerusi yang mereka tandingi.

PRN itu diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli DUN (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov.

Tiada ulasan: