HALAMAN SANTAI

Ahad, 21 November 2021

Pengerusi DAP Melaka letak jawatan

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

TEY KOK KIEW

MELAKA: Tidak sampai 24 jam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak menyebelahi Pakatan Harapan (PH), Datuk Tey Kok Kiew mengumumkan perletakan jawatan sebagai Pengerusi DAP negeri berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Kok Kiew, beliau mengambil rasa tanggungjawab dengan kekalahan DAP terhadap separuh daripada lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi dalam pilihan raya itu.

Beliau juga memohon maaf terhadap kegagalan PH untuk membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun Kok Kiew memaklumkan beliau kekal sebagai ahli DAP.

“Kita bukan sahaja gagal membentuk kerajaan negeri yang baharu, malah lapan kerusi yang kita menangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berkurangan.

“Ini adalah keputusan peribadi saya. Saya ingin memohon maaf kepada ahli DAP, rakan sekutu PH dan penyokong kami kerana gagal mencapai sasaran kami.

“Sebagai ketua negeri mesti bertanggungjawab sepenuhnya. Maka dengan ini mengumumkan saya meletakkan jawatan sebagai ketua negeri berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Keputusan PRN Melaka semalam menyaksikan DAP hanya menang empat kerusi berbanding lapan DUN ketika PRU-14 sekali gus memberi tamparan hebat kepada parti itu.

Malah Kok Kiew turut kalah di DUN Bemban apabila kerusi itu dimenangi oleh calon Perikatan Nasional (PN). – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: