HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 November 2021

Perebutan jawatan Ketua Menteri selepas BN menang besar?

 Ainul Illia

Tak berniat jatuhkan kerajaan baharu, mahu elak situasi dua harimau di atas bukit: Rauf

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli politik UMNO di Melaka dilaporkan heboh dengan tindakan mengangkat sumpah tergesa-gesa oleh Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri pada jam 1 pagi, Ahad (21 November).

Difahamkan, keputusan itu dibuat selepas percubaan tidak dijangka oleh ADUN Tanjung Bidara yang baru dilantik, Datuk Seri Rauf Yusoh untuk menuntut jawatan Ketua Menteri.

Rauf, yang merupakan pengerusi UMNO negeri, dilaporkan tidak hadir dalam majlis angkat sumpah Sulaiman di hadapan Gabenor Tun Mohd Ali Rustam, tengah malam tadi. 

Beliau difahamkan telah cuba melobi pemimpin atasan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, Pesiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan juga Datuk Seri Najib Razak yang merupakan penasihat BN.

Rauf ketika dihubungi berkata, terpulang kepada pihak berkenaan untuk menjelaskan mengapa beliau tidak hadir pada majlis angkat sumpah itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada beliau membuat permintaan saat akhir untuk jawatan Ketua Menteri, namun katanya, beliau tidak berniat untuk menjatuhkan kerajaan baharu.

“Mengapa saya perlu menjatuhkan kerajaan yang saya bantu tubuhkan? Saya akan tolong Sulaiman, dia kawan saya. Saya akan berikan sokongan padu saya kepadanya.

“Saya mahu mengelak situasi di mana terdapat dua harimau di atas bukit. Saya mahu melihat gabungan yang baik supaya boleh bekerjasama untuk membawa Melaka ke hadapan,” katanya seperti dilapor The Star.

Walaupun mengakui menyokong Sulaiman, Rauf menyatakan beliau akan bertemu ketua-ketua bahagian UMNO dan akan mengadakan sidang media hari ini.

Rauf berkata, beliau mahu memainkan peranan dalam kerajaan negeri dan terpulang kepada Ketua Menteri untuk memutuskan peranan yang sesuai untuknya.

“Mereka harus menunjukkan sedikit penghargaan dan berbincang dengan saya,” kata Rauf yang sebelum ini menjadi speaker DUN.

Ada kemungkinan Rauf, kini cuba memastikan Sulaiman tidak mengenepikannya daripada jawatan EXCO kerajaan negeri.

Rauf adalah tokoh utama dan kontroversi dalam peristiwa yang membawa kepada pembubaran DUN.

Beliau bergelut untuk menewaskan calon Perikatan Nasional, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dengan hanya 364 undi, turun daripada majoriti 4,865 pada 2018.

Tiada ulasan: