Bersatu berjaya kekalkan jumlah dua kerusi yang ditandingi di Melaka, manakala calon PN lain mampu jadi pencabar utama.
Meskipun kalah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Perikatan Nasional (PN) berjaya melakukan “inroad” apabila memenangi dua kerusi selain membuktikan mereka mampu menjadi pencabar utama kepada Barisan Nasional (BN), kata Muhyiddin Yassin.
Pengerusi PN itu berkata, sebahagian besar calon mereka berjaya mendapatkan jumlah undi yang agak besar berbanding calon-calon lain.
“Ini menunjukkan PN sudah membuat ‘inroad’ di Melaka. Ada angin perubahan tapi ternyata belum cukup kuat untuk membentuk kerajaan,” katanya pada sidang media di Melaka hari ini.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada BN dan berharap agar gabungan itu mampu menunaikan janji-janji pilihan raya.
PN menerusi Bersatu berjaya memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), mengekalkan jumlah kerusi yang dimenangi Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.
Dua kerusi yang dimenangi Bersatu kali ini ialah di Bemban dan Sungai Udang.
Sementara itu, Muhyiddin berkata blok itu akan membuat kajian mendalam terhadap keputusan PRN Melaka ini bagi menentukan punca kekalahan.
“Sama ada berkaitan jumlah pengundi keluar, jentera atau masalah lain.
“Ini tentunya beri banyak pengajaran,” tambah bekas perdana menteri itu.
Menurut Muhyiddin, PN bersedia menghadapi kemungkinan PRU15 sekiranya ia diadakan lebih awal.
“Kita sudah berada di sini, dan akan terus beristiqamah untuk jadi pencabar utama kepada BN,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan