Bernama
Norazlanshah menunggang kuda bersiar-siar di sekitar Kampung untuk memperkenalkan diri kepada para pengundi. - Foto BERNAMA
JASIN:
Calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam dalam Pilihan Raya
Negeri (PRN) Melaka tampil dengan cara tersendiri, bersiar-siar
menunggang kuda sambil berkempen di sekitar Kampung Paya Tanjung untuk
memperkenalkan diri kepada pengundi.
Datuk
Norazlanshah Hazali bekas pensyarah universiti awam itu menunggang kuda
berwarna coklat di badan dengan tompok putih di kaki diberi nama Bonita
yang memaparkan poster pilihan raya beliau mengandungi nombor giliran
calon, nama beliau dan simbol pen yang diletakkan pada sisi pelana.
"Sebagai
seorang Islam menunggang kuda adalah salah satu (amalan) mengikut
sunnah dan disebabkan kekangan untuk berkempen dalam norma baharu ketika
ini dan ia juga cara untuk beramah mesra dengan penduduk dan
menyampaikan mesej mengapa mereka perlu mengundi saya pada PRN kali ini
untuk mewakili suara mereka.
"Disebabkan
pandemik agak sukar untuk kita mendekati penduduk secara dekat, jadi
kita sebaik mungkin cuba mematuhi prosedur operasi standard (SOP)
digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR)," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.
Norazlanshah
yang berusia 41 tahun mempunyai Ijazah Doktor Falsafah Sains Makanan
daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhasrat untuk
menyelesaikan isu yang dihadapi nelayan di DUN Serkam serta berhasrat
menyediakan perumahan mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah.
DUN
Serkam yang mempunyai seramai 15,977 pengundi berdaftar menyaksikan
pertembungan empat penjuru antara Norazlanshah, Ahmad Bilal Rahudin
daripada Perikatan Nasional (PN), Muhammad Khomeini Kamal daripada
Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Zaidi Attan wakil Barisan Nasional (BN).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), DUN Serkam dimenangi penyandangnya Zaidi daripada BN dengan majoriti 2,737.
SPR
menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal
pada 16 Nov, berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat
Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk
Seri Sulaiman Md Ali.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan