HALAMAN SANTAI

Selasa, 16 November 2021

PRN Melaka: Calon ‘lompat’ BN menang PRU14 atas tiket PKR yakin

Dua kali melompat, calon Barisan Nasional (BN) yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia dimenanginya atas tiket PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Datuk Jailani Khamis yakin dipilih semula oleh pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Menurutnya ia berdasarkan kepada pencapaian beliau yang akan menjadi kayu ukur kepada pengundi untuk terus memberi mandat kepadanya dalam PRN Melaka nanti.

Pada PRU 2018 lalu, Jailani menang atas tiket PKR dengan majoriti undi 6,773 mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Norpipah Abdol yang juga penyandang kerusi itu, dan calon PAS, Rashidi Razak, dalam saingan tiga penjuru.

Susulan, tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) peringkat Persekutuan dan pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Bersatu pada Mac 2020, situasi politik di beberapa negeri, termasuk Melaka, tegang.

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu semestinya turut meninggalkan gabungan PH Melaka. Serentak itu juga ADUN DAP, Datuk Norhizam Hasan Baktee mengisytiharkan dirinya menjadi ADUN Bebas yang menyokong PN/BN.

Pada masa sama Jailani turut mengisytiharkan keluar PKR dan menjadi ADUN Bebas yang juga menyokong PN/BN.

Dengan hanya 11 daripada 28 kerusi DUN, kerajaan PH Melaka pimpinan Adly Zahari dari AMANAH tumbang, dan ADUN UMNO Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dilantik sebagai Ketua Menteri.

Mengikut catatan Wikipedia, Jailani pernah menjadi ahli UMNO tetapi meninggalkan parti itu pada 2016 dan melompat menyertai PKR, dua tahun sebelum PRU14 diadakan. Beliau sekali lagi melompat kembali kepada UMNO pada 2 Januari lalu dan dilantik sebagai Ketua Penerangan Bahagian Alor Gajah.

Berdasarkan temu bualnya dengan Astro Awani semalam, Jailani turut menawarkan enam Aku Janji sendiri, selain yang ditawarkan dalam manifesto BN.

Antara enam teras yang bakal dibawa ialah pendikan, keagamaan, kebajikan, isu anak muda dan belia, serta dua elemen baharu yang ditambah daripada manifestonya terdahulu pada PRU lalu iaitu ekonomi dan sektor perumahan.

Tetapi, Jailani tidak membuat Aku Janji untuk tidak melompat lagi setelah dua kali berbuat demikian dari UMNO ke PKR dan kemudian kembali kepada UMNO.

Jailani juga mendakwa beliau bertanding kali ini dalam keadaan ‘daif’, tidak mempunyai kekuatan kewangan, termasuk untuk menyediakan bendera BN.

Pada PRN Melaka kali ini, Jailani bakal berdepan saingan lima penjuru menentang bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah Zamzuri Ariffin yang mewakili PN; Zamri Pakiri (PH) dan dua calon Bebas K Murali serta Sabarudin Kudus.

Tiada ulasan: