Tiba masa saya menulis….
Menakutkan dan mengembirakan keputusan PRN Melaka
MANA SILAPNYA KITA & HEBATNYA LAWAN
Setelah menahan diri lebih 10 hari untuk menulis, pagi ini saya menulis apa yang tersimpan di dalam hati saya selama ini. Bagi saya ada pelbagai perasaan dengan keputusan PRN ini.
Hari ini saya nak menulis. Kalau mereka positif mereka akan ambil sebagai post mortem… kalau negatif saya peduli apa… yang rugi mereka yang cari makan dalam politik dan juga rakyat yang mengharapkan Malaysia yang lebih baik.
Apa yang menyedihkan?
Pastinya sedih orang Melayu Melaka tetap memilih mereka yang terpalit dengan pelbagai isu rasuah atau dengan istilah lain yang dianggap sebagai ‘penyamun’ untuk memimpin negeri tersebut. Sedangkan mereka ada pilihan untuk memilih pemimpin-pemimpin yang lebih bersih.
Apa yang menakutkan?
Yang menakutkan keputusan ini akan membuatkan kerajaan BN atau PM Ismail Sabri untuk segera membubarkan parlimen. Formula SOP iaitu mengikat kaki dan tangan lawan untuk berkempen dianggap berkesan.
Antara punca kekalahan PH adalah kerana SOP SPR membunuh PH dengan mudah. Ia antara faktor utama kekalahan PH jika kita ingin menyalahkan pihak lawan. Namun ia bukan segala galanya faktor kekalahan teruk ini.
Apa yang mengejutkan?
Orang Melayu Melaka sebahagian besarnya menolak PH. Sentimen perkauman masih laku di kalangan orang-orang Melayu. Malah seperti undi tentera (TLDM Lumut PRU14) juga menunjukkan tentera (Pos Laju) menolak PH kerana memilih Pas dan Umno sebagai pilihan.
Yang mengejutkan orang Melayu lebih percayakan PN berbanding PH. Pilihan utama mereka adalah BN dan kedua PN.
Mengapa ia terjadi?
1) Propaganda BN & PN berjaya menakutkan orang Melayu.
2) Sikap DAP yang lantang bersuara dan kurang menjaga sensitiviti orang Melayu. Lebih parah mereka tiada daya usaha untuk membetulkan keadaan hanya kerana untuk menjaga hati pengundi Cina. Yang penting DAP menang.
3) Tiada sumber maklumat rasmi dari PH. Sebab itu perlu ada MEDIA PH.
Apa berita gembira?
Gembira kerana sikap sesetengah pemimpin dan orang sekeliling mereka yang tidak boleh ditegur. Malah nasihat dari facebooker, blogger dan ramai cerdik pandai sana ditolak. Orang di sekeliling pula takut jika kita mendekati pemimpin.
Sebab mereka ini bimbang melihat orang lain lebih bijak dari mereka diketahui oleh pemimpin. Akhirnya pemimpin mendapat nasihat dari pengampu atau punasihat bukan dari mereka yang benar-benar ikhlas untuk menyalurkan pendapat.
Jadi kekalahan ini bagus untuk menyedarkan pimpinan bahawa mereka jangan tertipu pengampu yang berada di sekeliling mereka.
Yang mengembirakan kerana BN sedar mereka kini kembali menjadi parti dominan. Mereka tidak perlukan Bersatu dan Pas lagi. Ketua-ketua Bahagian akan rasa gembira peluang mereka menjadi calon lebih terbuka. Malah mereka boleh merampas kembali Terengganu, Johor, N9…. jangan terkejut di Kelantan juga jika mereka mahu.
LOGO?
Benarkah logo buat PH kalah? Saya menolak ia sebagai faktor utama tetapi ia sebahagian faktor kecil. PN pun masih baru tetapi kenapa orang Melayu boleh menerima mereka walaupun hanya baru 20 bulan. Apapun saya tetap menerima logo Harapan ini tiada auranya. Sayang AMANAH sangat setia menerima segala pandangan DAP.
TERIMA PENGKHIANAT/KATAK?
Benarkah terima pengkhianat/katak faktor utama PH tewas? Saya menolak juga ia sebagai faktor utama. Ia faktor yang sangat kecil jika kita tidak mahu menolaknya 100%. Ini kerana PN itu parti pengkhianat tetapi mereka dekat di hati orang Melayu. Umno juga tak silap ada calon pengkhianat dari PKR tetapi orang Melayu tetap sokong. Pengkhianat bukan faktor kenapa orang Melayu Melaka menolak PH. Jadi di mana silapnya…? Sila baca hingga habis.
RINGGIT MALAYSIA – RM?
Cash is king boleh saya anggap antara faktor kemenangan lawan. Ini sukar dibendung kerana sudah menjadi budaya orang Melayu tetapi jika kita boleh lakukan wave seperti PRU14, RM mampu ditewaskan.
PERATUSAN UNDI KECIL?
Saya menolak ia sebagai faktor utama. Ia hanya faktor kecil kerana pengundi bandar yang berhijrah atau bertugas di luar tidak pulang. Saya menolak ia sebagai faktor utama kerana peratusan tersebut kenapa BN dan PN masih boleh mendapat undi yang besar.
JADI DI MANA SILAP UTAMA PH?
1. Silap utama kita pimpinan hanya melihat orang yang dekat dirinya di pusat. Cadangan saya selepas ini calon-calon PH terutamanya PKR, pilihlah calon yang dicalonkan oleh pimpinan parti dari cabang/ranting tempatan. Mereka lebih mengenali siapa yang boleh buat kerja atau ikhlas bekerja.
Setiap ADUN berikan dua nama untuk dinilai dari maklum balas ahli dan penduduk tempatan yang mana lebih disenangi. Bukan pilih calon yang kuat membodek pemimpin di pusat tiba-tiba muncul menjadi calon.
Akhirnya ahli sendiri sabotaj/kecewa. Orang tempatan pula tidak mengenali calon secara dekat. Sebenarnya ramai calon-calon tempatan yang selama hari ini buat kerja di Melaka kita abaikan. Rakan2 mereka kecewa, ahli parti juga kecewa… akhirnya aura negatif itu dapat dikesan pada petugas.
2. Silap utama PH adalah maklumat yang tidak sampai kepada masyarakat setempat. Kita ‘syok’ sendiri. Contoh anda dan saya menulis memperolehi banyak like adalah kerana 90% dari penyokong kita sendiri.
Namun kita tidak perlu bangga dengan jumlah like tersebut kerana maklumat yang kita tulis itu tidak sampai kepada sasaran. Jika sampai jumlahnya terlalu kecil.
Sepertimana cara kita berkempen. Saya seperti yang lain-lain datang dari luar ke Melaka hanya mampu memberi sokongan moral tiada apa yang mampu kita lakukan untuk membantu calon.
Datanglah beribu ribu dari luar sana sekalipun paling kuat kita boleh bantu pacak bendera atau edarkan flyers selain berborak sesama kita sambil menikmati hidangan makanan yang enak di bilik gerakan.
3. Untuk PKR saya ada menulis meletakkan Syamsul Iskandar sebagai calon satu kesilapan. Bila saya tulis ada yang marah.
Saya bukan benci SAM (tiada masalah peribadi) tapi saya hanya memberi cadangan beliau sebagai MP dan lebih berat lagi tugasnya sebagai Ketua Penerangan parti sangat diperlukan teamnya utk membantu kempen ADUN PKR seluruh Melaka.
Bila beliau bertanding di Paya Rumput, ahli-ahli PKR tempatan telah memulaukan beliau di sana. Akhirnya SAM terpaksa menggunakan jentera penerangan yang tidak tahu selok belok dan mengenali pengundi-pengundi dan sasaran pengundi di kawasan dirinya bertanding.
Niat saya SAM diperlukan PKR utk membantu kempen bukan bertanding. Bila saya berkata begitu ada yang berkata saya nak salahkan pimpinan. Bukan begitu maksudnya saya hanya sekadar memberi pandangan untuk kebaikkan parti.
Kita parti yang terbuka… tak semesti pimpinan betul semua perkara. Tapi orang di sekeliling pemimpin mereka hanya suka mengampu lebih suka kepada Yes Bos kepada bos kecil dan bos besar. Cara mereka membodek itu akhirnya membawa rebah.
MEDIA RASMI PH…
Antara punca kekalahan kita kerana kita hanya melihat kekurangan lawan tetapi tidak mahu melihat kelebihan lawan. Lihat BN melalui JASA dan PN melalalui JKom sanggup menggunakan berpuluh juta wang rakyat sebagai media propaganda mereka. Mereka tahu betapa penting media dalam politik.
Ia berkesan hingga seluruh negeri Melaka terpampang wajah Abah. Akhirnya banyak juga kawasan ADUN kita tewas kepada PN yang kita anggap sebagai underdog. Jadi apa kita perlu lakukan?
1. Berulang kali saya menulis PH perlukan media rasmi. Bila ada media rasmi rakyat ada media alternatif untuk mendapat maklumat. PH parti yang baik tapi tidak bijak, BN parti korup tapi mereka sangat licik. Itu bezanya pemikiran pemimpin BN/PN berbanding dengan pemimpin PH.
2. Namun ada pimpinan kecil yang bersetuju saranan saya agar Media PH diwujudkan. Ada yang datang hingga ke rumah dan ada yang ajak berbual di kedai kopi mengenainya.
3. Saya ada cadangkan untuk menubuhkan Media PH dan ia perlukan dana dan diuruskan oleh parti komponen PH sendiri. Saya cadangkan setiap MP PH berikan sumbangan RM 1k seorang setiap bulan untuk menguruskan media tersebut.
Ia sangat penting untuk penerangan PH dengan content (tidak boleh dihebahkan) yang telah saya detailkan. Saya volunteer untuk membantu menubuhkan Media PH ini. Tapi ia dipandang sepi oleh pemimpin-pemimpin PH.
Saya bukan hendak membodek menjadi calon tapi sekadar ingin membantu sepertimana rakan-rakan yang lain. Sebab itu bila rakan-rakan jemput beberapa kali hadir ke tempat pimpinan utama di DUN-DUN tertentu saya tidak menghadirkan diri.
Kita bukan mahu menumpang populariti bergambar dengan pimpinan utama. Saya bukan cari makan dengan politik. Kita hanya ingin bantu bersama rakan-rakan yang lain. Kita sama-sama mahu ubah Malaysia menjadi lebih baik melalui PH.
Yang penting bukan untuk tunjuk muka atau bergambar dengan pemimpin tetapi sampaikan kepada pimpinan betapa pentingnya Media PH ditubuhkan segera. Sebab itu berita gembira kekalahan PH pada PRN Melaka bagi saya supaya pimpinan buka mata.
Jika mereka kedekut sangat untuk menyumbangkan dana untuk pembetukkan media PH… kemungkinan besar mereka akan kehilangan pendapatan puluhan ribu selepas PRU15 ini… kata orang Melayu…’biar padan muka.’
Kenapa penting Media PH?
1. Dulu Eksklusif dan Harakah sangat laris kerana ia dianggap medium penyampai maklumat alternatif untuk rakyat. Sekarang dunia IT… sumber maklumat dihujung jari.
2. Saya menolak dakwaan mengatakan golongan tua atau luar bandar tidak melihat FB, Whatsapp dan sebagainya antara punca utama kita tewas. Sebab selalu samada di Semenanjung atau Borneo ini warga tua juga asyik bermain HP membaca sumber-sumber maklumat di laman sosial. Jika tidak bagaimana kita boleh menang di Melaka pada PRU14?
3. Media sangat penting kerana PH bila berlakunya PK, PRN atau PRU barulah sibuk nak berkempen. Sedangkn kita hanya ada masa 60 hari bermula Parlimen atau DUN dibubarkan dan hanya ada 10 hari untuk berkempen.
Sekarang kita mesti ingat BN akan guna formula SOP PRN Melaka untuk melakukan segera PRU15 ini nanti. Jadi tempoh 10 hari itu bila tangan dan mulut kita diikat, kita hanya mampu duduk berlabun di bilik gerakan sahaja bila berlaku PRU15 nanti.
4. BN berkempen 365 hari setahun kita hanya berkempen bila Parlimen/ADUN dibubarkan. Jadi faktor utama PH tewas bagi saya adalah kerana kita tiada media rasmi untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat.
Kita perlu ada media rasmi… percayalah kata-kata saya ini. Orang kampung atau orang Melayu menolak kita kerana kurang maklumat. Sudah la rata-rata kurang pendidikan apabila kurang maklumat membuatkan mudah dikotak katikkan begitu sahaja.
Cukup dengan ayat Melayu terancam, perpaduan Melayu dan RM50. Jadi kita perlu sampaikan maklumat. Maklumat bermaksud kita mendidik. Orang Melayu mesti diajar menjadi pandai.
Percayalah tahun hadapan Ismail Sabri akan bubarkan Parlimen sebelum dunia bersih dari Covid-19. Kita tiada masa lagi untuk berkempen secara konvensional lagi. Jika tak lakukan sekarang… nasib PRU15 tak ubah sepertimana PRN Melaka.
Mahu tidak mahu juga kita kena akui peranan Bersatu dahulu mendorong 5-10% orang Melayu untuk mengundi kita. Anda bersetuju atau tidak terpulang tetapi saya perlu berkata jujur mengenainya.
Moralnya yang kata PKR boleh bersendirian… tidak betul sebab masih ramai orang Melayu yang kurang sumber maklumat selain masalah pendidikan.
Apapun tahniah kepada petugas dan sokongan ahli PH yang sanggup turun padang. Ada yang berkampung dan ada yang datang sekadar memberi sokongan moral. Kita tewas kerana silap formula.
Cukup setakat ini…Saya tunggu maklumat rasmi dari SPR mengenai keputusan PRN Melaka untuk analisis seterusnya.
(*) Penulis adalah petugas media PKR. Ini adalah pandangan peribadi beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan