HALAMAN SANTAI

Khamis, 18 November 2021

PRN Melaka: Tahap teruk UMNO, calon PH berebut mengaku bina masjid


Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka oleh Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, dan Pakatan Harapan (PH) memasuki tahap memalukan hingga melibatkan pembinaan masjid.

Kedua-dua pihak kini dilihat berebut-rebut mengaku membina masjid, sedangkan ia adalah kegunaan seluruh umat Islam tanpa mengira ideologi dan fahaman parti politik.

Dalam satu kenyataan dimuat naik dalam akaun Facebooknya (FB) malam tadi, Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa pembinaan Masjid Tun Khalil di Asahan dilakukan ketika BN memerintah.

“Yang meluluskan pembinaan Masjid Tun Khalil di Asahan ialah Ketua Menteri Melaka waktu BN memerintah,” katanya.

Asyraf yang keperibadiannya lebih menjurus kepada seorang individu bergelar ‘ustaz’ kerana kerap kali memuat naik hal-hal berkaitan Islam, termasuk solat berjemaah seisi keluarga, juga mendakwa peruntukan pembinaan masjid itu diluluskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Yang meluluskan pembiayaan sebanyak RM5 juta untuk membinanya ialah Perdana Menteri waktu itu iaitu Datuk Seri Najib Razak,” tulisnya bagi menjawab kenyataan admin FB Datuk Seri Idris Haron.

Admin FB Idris sebelum itu menyatakan masjid berkenaan dibina ketika bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sungai Udang itu menjadi Ketua Menteri (KM) Melaka.

“Ada juga yang bertanya, apakah jasa-jasa Idris Haron kepada Asahan semasa beliau menjadi Ketua Menteri Melaka?

“Penduduk Asahan tentu tahu Masjid Tun Khalil Yaakob. Masjid yang berkapasiti 2000 orang ini telah diluluskan pembinaannya semasa beliau menjadi Ketua Menteri.

“Alhamdulillah, semoga masjid ini terus menjadi pusat penyebaran ilmu agama terpenting kepada komuniti Islam di Asahan,” tulis admin dalam FB Idris, sebelum dijawab oleh Asyraf Wajdi.

Pada PRN Melaka 20 November ini, Idris yang bertanding atas tiket PH berdepan saingan enam penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.

BN meletakkan Fairul Nizam Roslan sebagai calonnya, manakala Danesh Basil sebagai calon Perikatan Nasional; dan tiga calon Bebas, Mohd Noor Salleh, Azmar Abdul Hamid dan Mohd Akhir Ayob.

Sebelum ini, perebutan jawatan KM Melaka berlaku antara Idris dan Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang mendapat dukungan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ketika PH memerintah Melaka, Idris adalah Ketua Pembangkang, tetapi dicantas oleh Rauf ketika pembentukan kerajaan baharu Melaka pada Mac 2020, apabila Sulaiman dilantik sebagai KM.

Idris hanya dilantik sebagai Ahli Exco manakala Rauf yang tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14, diangkat sebagai Speaker DUN.

Sehingga ke satu tahap, Idris bersama seorang lagi ADUN UMNO Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan, dan dua ADUN lain menarik sokongan terhadap Sulaiman menyebabkan kerajaan UMNO Melaka tumbang 4 Oktober lalu dan PRN terpaksa diadakan.

Tiada ulasan: