HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 November 2021

PRN Melaka: Yakin bakal menang besar, PKR janji iktiraf ketua pembangkang


Selepas melihat peluang untuk menang besar semakin menjadi kenyataan, PKR memberi jaminan tidak akan meminggirkan blok pembangkang sebaliknya akan mengiktiraf Ketua Pembangkang setara dengan jawatan Exco.

Menyedari PKR juga bakal menang besar, sama seperti Barisan Nasional (BN) yang juga akan menang besar, tawaran tersebut dibuat kepada pembangkang yang akan diberikan pelbagai manfaat di bawah Pelan Tindakan Maju Bersama Pakatan Harapan (PH) sekiranya parti itu diberikan mandat memerintah Melaka.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Melaka, Datuk Halim Bachik berkata, selain itu setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa mengira parti juga akan diberikan hak peruntukan tahunan saksama agar pencapaian pembangunan di negeri berkenaan lebih seimbang di antara kawasan.

“PH komited untuk memastikan akauntabiliti dan integriti dalam pentadbiran dan setiap ADUN yang menang diwajibkan membuat pengisytiharan harta.

“Amalan tender terbuka akan dilaksanakan sebagai teras proses perolehan negeri. Amalan tender terbuka ini tidak akan menjejaskan agenda Bumiputera, sebaliknya membuka peluang sama rata dan adil kepada semua pihak,” katanya lapor Bernama.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, PH bertanding di kesemua 28 kerusi dengan PKR bertanding 11 kerusi DUN, lapan DAP dan sembilan Parti Amanah Negara (Amanah).

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu selepas empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

SPR menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini.

Tiada ulasan: