MELAKA – Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim dari Pakatan Harapan (PH), Prasanth Kumar optimis terhadap sokongan yang diterima sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Sebaliknya anak muda berusia 27 tahun itu mengakui sokongan itu sebenarnya diterima kerana beliau bukanlah ‘budak mentah’ atau calon payung terjun.
Kata Prasanth, dirinya anak jati Jasin malah DUN Rim itu tidak asing kepadanya.
“Usia muda saya tidak menghalang semua golongan dari muda hinggalah tua untuk menerima saya sebagai pemimpin mereka dan sedia memberi saya peluang.
“Mereka juga tidak melihat saya sebagai muka baharu sebaliknya saya telah mula berkhidmat mendekati masyarakat sejak zaman belajar lagi. Kemudian saya berpeluang untuk berkhidmat sebagai pegawai khas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari selama 22 bulan dan menjaga hal ehwal masyarakat India.
“Muka saya ini bukan baharu walaupun populariti saya mungkin tidak seperti segelintir calon tapi saya pasti itu bukanlah ukuran saya fikir rakyat akan membuat pilihan terbaik dan memilih orang yang boleh memberikan khidmat pada rakyat,” katanya baru-baru ini.
Kelebihannya ialah anak jati Jasin dan DUN Rim tempatnya membesar.
Masyarakat setempat dari pelbagai kaum dan latar belakang di DUN yang sama adalah kenalannya yang sama-sama menjadi pendorong kepadanya bertanding dalam PRN Melaka.
Prasanth akan berdepan pertandingan tiga penjuru antara beliau, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Khaidirah Abu Zahar atau Dira dan Azalina Abdul Rahman daripada Perikatan Nasional (PN) yang mewakili Bersatu pada Sabtu ini.
Dalam pada itu, Prasanth sudah merencana lima tawaran kepada para pengundi DUN Rim antaranya menyelesaikan masalah air di Kampung Sri Kersang di sini yang dihadapi penduduk lebih 30 tahun.
Katanya, isu itu bukanlah baharu namun jika ada perancangan yang betul hakikatnya boleh diselesaikan dan rancangan itu tidak berniat untuk sekadar membeli undi pengundi sebaliknya realistik.
Prasanth juga mahu membangunkan kawasan taman ekstrem Tasik Cincin sebagai kawasan industri pelancongan, kelajuan internet di Jasin khususnya di DUN Rim sangat lemah.
“Terus terang saya cakap, ketika saya menjawat jawatan pegawai khas di pejabat Ketua Menteri, setiap aduan itu akan saya usahakan saban kali, saya benar-benar merasa rintihan mereka. Bersama masyarakat, mendekati mereka sebenarnya passion saya sejak dulu lagi,” katanya.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan