HALAMAN SANTAI

Ahad, 21 November 2021

‘YB juara penembak babi’ jauh ditinggalkan di Pengkalan Batu

 

Calon Bebas, Datuk Norhizam Hassan Baktee dilihat jauh ketinggalan berbanding empat pencabarnya yang lain di kerusi disandangnya, Pengkalan Batu.

Angka tidak rasmi setakat jam 8 malam ini menunjukkan Norhizam yang pernah digelar ‘juara penembak babi’ hanya memperoleh 716 undi.

Sebaliknya, calon muda Pakatan Harapan (PH) dari DAP, Muhamad Danish Zainudin mendapat 2,758 undi dan diekori rapat calon BN, Datuk Kalsom Nordin dengan 2,641 undi.

Sementara itu, calon PN dari Bersatu, Mohd Azrudin Md Idris mengaut 1,293 undi setakat ini manakala 41 undi menjadi milik calon Putra, Dr Mohd Aluwi Sari.

Norhizam yang dipilih menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 2018 kemudiannya memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) sekali gus meninggalkan DAP tahun lalu.

Dia yang dikenali sebagai ‘YB Gangster’ mengejutkan semua pihak apabila turut menjadi antara 17 wakil rakyat yang memberi sokongan kepada blok BN untuk membentuk gabungan kerajaan baharu di Melaka sekali gus menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Akibat tindakannya itu, dia dipecat pada Mac 2020 selepas menjadi ahli DAP sejak 2005.

Bahkan, Norhizam yang dianggap mengkhianati mandat rakyat mendakwa dirinya menjadi ‘barua’ sepanjang 22 bulan pentadbiran PH.

Tidak cukup itu, dia dan tiga ADUN lain menarik sokongan kepada kerajaan negeri yang diterajui Umno-BN bulan lalu sehingga memaksa PRN Melaka diadakan hari ini.

Untuk rekod, bapa Norhizam iaitu Hassan Baktee Mohd bertanding dua kali sebagai calon DAP di kerusi DUN Bachang sebelum ia dinamakan semula sebagai Pengkalan Batu.

Norhizam digelar ‘juara penembak babi’ pada tahun 2019 oleh Speaker DUN ketika itu, Datuk Wira Omar Jaafar yang berseloroh selepas YB kontroversi itu menegaskan sebanyak 479 babi hutan berjaya ditembak sejak Januari hingga Oktober tahun itu.

N15: PENGKALAN BATU: MELAKA: 20,821

1. Muhamad Danish Zainudin (PH-DAP)
2. Mohd Azrudin Md Idris (PN-Bersatu)
3. Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas/IND)
4. Dr Mohd Aluwi Sari (Putra)
5. Datuk Kalsom Nordin (BN-Umno)
(2018: Datuk Norhizam Hassan Baktee: PH-DAP: Maj: 2,756)
(2020: Menjadi Bebas)

Tiada ulasan: