Tuduhan liwat Anwar untuk tutup kelemahan BN
Suhaimi Taib
Dakwaan salah laku seks yang sama (liwat) sekali lagi diulangi ke atas mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Kredibiliti Anwar difitnah lagi dengan dakwaan yang cukup tidak patut semata-mata untuk menjatuhkan karier politik beliau dalam waktu terdekat ini.
Ini kerana di saat ini Barisan Nasional (BN) sedang gawat menghadapi kemelut pertelingkahan dalaman antara pemimpin BN Sabah dan Semenanjung.
Ia terserlah dengan insiden perang mulut antara Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz, berhubung isu menghalang petugas media memasuki lobi Parlimen Selasa lalu, terus berlarutan.
Selepas melabelkan BNBBC seperti kebudak-budakan, Rabu lalu, Nazri semalam mencabar pula kelab itu supaya mencadangkan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, memecat beliau sebagai menteri.
"Jika mereka tidak mahu berbuat demikian Isnin ini, jangan banyak cakap. Kalau tidak tahu peraturan, duduk diam-diam," tegasnya dalam satu laporan media semalam.
Nazri membuat cabaran itu ketika mengulas kenyataan Pengerusi BNBBC, Dato' Seri Tiong King Sing kelmarin, yang membidas beliau kerana mengkritik kelab itu mengambil keputusan sendiri membuka pita menghalang petugas media memasuki Lobi Parlimen.
Sebelum itu Parti Maju Sabah (SAPP) bersedia menghadapi apa juga tindakan berikutan keputusan dewan tertinggi parti itu menyokong cadangan untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"SAPP bersedia dengan apa juga tindakan daripada sesiapa, sama ada dari atas, bawah, kiri dan kanan," kata Presiden parti itu Dato' Yong Teck Lee.
Dua kemelut dalaman BN ini sedikit sebanyak menyerlahkan perpecahan dalaman BN sekali gus menjelaskan bagaimana parti itu berada bagaikan telor di hujung tanduk.
Ertinya, ia dalam keadaan bahaya. Sudah pasti BN berikhtiar untuk menstabilkan semula kedudukannya sebagai parti pemerintah dengan cuba menimbulkan ketakutan di kalangan penentang-penentang kemuafakatan parti itu termasuk mengancam kebebasan Anwar di pentas politik dengan tuduhan liwat kali kedua itu.
Dakwaan terhadap Dato' Seri Anwar dikatakan berlaku "dalam sebuah kondo di kawasan Damansara", demikian menurut laporan polis yang dibuat pembantunya yang berusia 23 tahun semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Dato' Bakri Zinin juga mengesahkan bahawa satu pemeriksaan perubatan telah dijalankan ke atas mangsa terbabit.
Katanya, adalah menjadi tugas polis untuk menghantar pengadu ke hospital.
Beliau memberitahu demikian dalam satu sidang akhbar yang diadakan di ibu pejabat polis Kuala Lumpur semalam.
Bakri berkata, mangsa telah membuat aduan pada jam 5.45 petang semalam di pondok polis di Hospital Kuala Lumpur, yang terletak di bawah bidang kuasa balai polis Jalan Travers.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan perbuatan liwat tersebut.
Beliau memberi jaminan bahawa polis akan menjalankan siasatan yang adil dan terperinci.
Ditanya sama ada Anwar akan ditahan, Bakri berkata polis perlu mengkaji dakwaan tersebut terlebih dahulu.
Anwar telah menafikan dakwaan tersebut sebagai satu rekaan semata-mata. KeADILan juga berkata pembantu Anwar itu telah ditahan dan dipaksa oleh pihak polis membuat laporan tersebut.
Bagaimanapun, pihak polis menafikan menahan pembantu Anwar itu dan dipaksa mereka-rekakan bukti, seperti yang didakwa oleh KeADILan.
"Jangan dengar khabar angin. Dengar cakap saya. Saya ketua CID," kata Bakri apabila ditanya mengenai perkara tersebut.
Beliau menegaskan mangsa menulis sendiri laporan tersebut. - mns_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan