HALAMAN SANTAI

Selasa, 8 Julai 2008

95,480 orang sertai Skim Takaful Warga Emas di Kelantan


KOTA BAHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini diberitahu kerajaan negeri telah menerima permohonan daripada 95,480 warga emas untuk menyertai Skim Takaful Warga Emas sehingga Mei lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Datuk Husam Musa berkata daripada jumlah itu, lebih 5,000 permohonan ditolak kerana tidak menepati syarat.

"Seramai 3,175 orang yang berusia lebih 75 tahun telah meninggal dunia dan waris menerima manfaat skim tersebut diikuti waris mereka yang berumur 66 hingga 75 tahun (2,906 orang meninggal dunia) dan 60 hingga 65 tahun (1,121 orang meninggal dunia)," katanya ketika menjawab soalan Drs Zainuddin Awang Hamat (PAS-Limbongan).

Husam berkata lebih RM7 juta telah dibayar kepada semua waris yang meninggal dunia itu.

Sementara itu dewan riuh seketika apabila soal jumlah penduduk Kelantan ketika ini ditimbulkan di dalam dewan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob berkata sehingga April lepas, jumlah penduduk Kelantan adalah seramai 1.5 juta.

Wan Ismail Wan Jusoh (PAS-Melor) yang membangkitkan soal itu mahukan penjelasan sama ada kerajaan negeri mahu menggalakkan rakyatnya menambah zuriat kerana kadar pertambahan penduduk Kelantan setahun hanyalah 2 peratus sahaja.

Ahmad secara berseloroh kerajaan negeri tiada halangan dan Islam sendiri membenarkan lelaki menambah isteri bagi tujuan itu.

Dewan juga diberitahu Kelantan memerlukan sebanyak 123,459 metrik tan beras setahun bagi keperluan kira-kira 1.5 juta penduduk itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi Negeri, Che Abdullah Mat Nawi berkata bagaimanapun pengeluaran beras di negeri ini melebihi keperluan iaitu 149,602 metrik tan setahun.

"Lebihan itu membolehkan kita menambah pengeluaran beras negara dan kerajaan negeri memberi galakan agar petani meningkatkan lagi pengeluaran," katanya ketika menjawab soalan Wan Ismail. BERNAMA

Tiada ulasan: