Ahli PBT diingatkan tentang tanggung jawab yang dipikul
Saidah Hairan
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengingatkan 283 ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang baru menerima watikah pelantikan tidak menjadikan jawatan tersebut sebagai peluang untuk memenuhi kepentingan diri dan kroni sebaliknya ia merupakan amanah dan tanggung jawab yang amat berat.
Dalam ucapan perasmian, Abdul Khalid menegaskan tiada keistemewaan yang akan diperolehi oleh ahli PBT kerana kerajaan Pakatan Rakyat tiada kronisme, nepotisme dan tiada komisen 10 peratus jauh sekali menyediakan banglow persinggahan.
Selepas merasmikan majlis, beliau telah menyerahkan watikah pelantikan 283 ahli PBT bagi penggal 2008/2009 di Dewan Jubli Perak.
Dalam sidang media selepas menyerahkan watikah katanya, jumlah keseluruhan ahli PBT 300 orang tetapi yang hadir menerima watikah pelantikan 283, empat orang ke luar negara manakala tiga ahli menarik diri kerana tidak mempunyai kelayakan menjadi ahli PBT.
Suatu pembaruan yang tidak dilakukan ketika kerajaan Umno-BN mentadbir katanya, ahli Parlimen dan Adun Selangor tidak dipilih untuk menjadi ahli PBT tetapi mereka dibenarkan menghadiri mesyuarat Majlis sebagai pegawai rasmi.
"Mereka boleh berbincang tetapi tidak ada kuasa untuk mengundi dalam menentukan keputusan," katanya.
Beliau berkata, kerajaan Negeri akan membuat kajian dalam masa enam bulan untuk menilai keberkesanan semua ahli PBT dan dalam masa satu bulan kerajaan negeri akan mengadakan latihan intesif di pusat latihan di Morib.
Menurut beliau, kerajaan negeri menjangkakan hanya 80 peratus ahli PBT memegang jawatan selama dua tahun selepas itu akan diganti dengan ahli baru.
Beliau menjelaskan pelantikan ahli PBT memperlihatkan lebih besar ahli wanita dipilih dan kebanyakan mereka terdiri daripada golongan profesional.
Kerajaan negeri telah memilih dua orang wakil orang kurang upaya (OKU), wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), profesional dan ahli politik tempatan yang terdiri daripada PAS, KeADILan dan DAP.
Menurutnya, pelantikan ahli PBT sebagai pengikhtirafan kerajaan negeri terhadap komitmen, keikhlasan, integriti dan kemampuan individu untuk berkhidmat bersama pihak PBT.
"Menerusi agensi PBT inilah setiap ahli Majlis wajar mendampingi rakyat negeri Selangor yang memerlukan bantuan daripada segi tenaga, minda dan khidmat profesional," tegasnya. - mns_
1 ulasan:
Perlantikan orang luar dari kawasan PBT bercanggah dengan piagam PBT. Kerajaan tempatan - local Government..
Catat Ulasan