Anak angkat tidak lagi boleh dibin, dibintikan nama bapa angkat
Oleh SA'ODAH ELIAS
KUALA LUMPUR: Anak angkat di dalam keluarga Islam tidak lagi dibenarkan mendaftar dengan bin atau binti nama bapa angkat mereka, mulai hari ini.
Malah, mereka juga tidak lagi dibenarkan mendaftar nama bapa angkat selepas nama mereka seperti yang diamalkan sesetengah pihak sebelum ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata beliau telah mengeluarkan arahan rasmi tentang perkara itu kepada Ketua Pengarah Jabatqan Pendaftaran Negeri.
"Arahan ini dikeluarkan bagi mematuhi keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang dibuat pada 2000 yang mengharamkan anak angkat dibin atau dibintikan kepada bapa angkat mereka.
"Bagaimanapun, Ketua Pengarah Pendaftaran ketika itu menggunakan budi bicara membenarkan bapa angkat mendaftarkan anak angkat menggunakan nama mereka tanpa dipisahkah oleh bin atau binti, sebagai contoh, Aminah Zaki dan tidak Aminah binti Zaki," katanya di lobi Parlimen.
Dengan arahan rasmi yang dikeluarkan hari ini, katanya, amalan itu pun tidak lagi dibenarkan, sebaliknya semua anak angkat mesti dibin atau dibintikan kepada nama asal bapa mereka.
Menurutnya amalan menamakan anak angkat mengikut nama bapa angkat timbul kerana kebanyakan ibu bapa angkat tidak mahu kanak-kanak yang terlibat tahu bahawa mereka telah diberikan oleh ibu bapa sebenar mereka untuk dibela oleh orang lain.
"Ibu bapa angkat biasanya hendak tunggu hingga anak angkat mereka dewasa dan boleh menerima hakikat itu sebelum memberitahu mereka tentang asal-usul sebenar mereka," katanya.
Bagaimanapun, katanya, amalan itu tidak boleh lagi dibiarkan berteruskan kerana ia bertentangan dengan fatwa.
Mengenai kes di mana nama bapa sebenar tidak diketahui, seperti kes bayi yang dibuang, katanya, pihaknya akan mendapatkan fatwa mengenainya, walaupun amalan sebelum ini, anak-anak yang seperti itu dibin atau dibintikan kepada Abdullah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan